Manchester United ketika ini berada di kedudukan ke-15 EPL. FOTO: AFP
LEGENDA Manchester United, Rio Ferdinand percaya The Red Devils tetap berada dalam bahaya dan berdepan ancaman penyingkiran daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada penghujung musim ini.
Skuad kendalian Ruben Amorim itu terus berdepan kemerosotan prestasi selepas tewas kepada Tottenham Hotspur pada Isnin lalu menyaksikan mereka berada di kedudukan ke-15 dengan saingan liga hanya berbaki 13 perlawanan.
The Red Devils ketika ini hanya mengumpul 29 mata daripada 25 perlawanan dan dibezakan 12 mata daripada Ipswich Town, kelab yang kini berada di tempat ke-18 iaitu dalam kelompok penyingkiran.
Ferdinand menegaskan jurang 12 mata tersebut mungkin tidak mencukupi untuk mengetepikan kebimbangan penyingkiran United kerana kelab itu sering bergelut untuk meraih kemenangan.
“Manchester United benar-benar bergelut pada masa ini. Hanya Wolves dan West Ham memisahkan kelab daripada tempat penyingkiran. Anda sedar yang kelab semakin hampir ke zon penyingkiran?
“Ada yang berkata United hanya memerlukan 11 mata untuk kekal dan saya mula berfikir seperti itu. Saya mempunyai senarai perlawanan di sini dan satu-satunya perlawanan berpotensi adalah menentang Leicester (yang berada di kedudukan ke-19 liga).
“Biasanya anda melihat senarai perlawanan dan anda boleh menjangkakan kemenangan, namun baki perlawanan United ini saya lihat sukar untuk melihat pasukan mana yang United boleh cuba meraih tiga mata,” katanya.
United perlu mendapatkan 40 mata yang dianggap sebagai angka ajaib untuk mengelakkan penyingkiran walaupun pada musim lalu Nottingham Forest terselamat daripada ditendang dari EPL dengan hanya meraih 32 mata.
Malah, statistik menunjukkan bahawa 35 mata sepatutnya mencukupi dalam kebanyakan keadaan, dan ini mungkin akan berlaku sekali lagi sekurang-kurangnya berdasarkan kempen menyedihkan dilalui Leicester, Ipswich dan Southampton di kelompok penyingkiran.