Manchester United kelab komersial, bukan kelab bola sepak

Manchester United kelab komersial, bukan kelab bola sepak


BEKAS pengendali Belanda, Louis van Gaal, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap bekas kelabnya, Manchester United, sambil menyifatkan The Red Devils lebih mementingkan keuntungan komersial berbanding prestasi di padang.

Van Gaal, yang pernah membimbing United selama dua musim dan menghadiahkan kejuaraan Piala FA sebelum disingkirkan bekas Ketua Eksekutif Ed Woodward, tidak menyembunyikan kekecewaannya terhadap cara kelab itu diuruskan.

“Mereka ialah sebuah kelab komersial, bukan kelab bola sepak.

“Saya telah katakan perkara itu sebelum ini, dan sememangnya sesuatu yang sukar.

“Apabila pengurus tidak mempunyai kuasa untuk menentukan pemain yang harus dibawa masuk, situasi akan menjadi sangat sukar dalam mengendalikan pasukan,” tegas Van Gaal.

Apabila ditanya sama ada pihak pengurusan atasan atau pengurus harus diberi kuasa mutlak dalam hal pemilihan pemain, Van Gaal menjawab dengan tegas: “Saya fikir pengurus yang sepatutnya memilih pemain.

“Ini kerana apabila prestasi tidak memberangsangkan, maka pengurus boleh dipertanggungjawabkan dan dipecat. Tetapi jika orang lain yang memilih pemain, maka timbul masalah.”

Menurut Van Gaal lagi, pemilihan pemain perlu selaras dengan visi dan pengetahuan taktikal pengendali.

“Anda perlu mengambil kira pengetahuan dan orientasi pengurus, kerana dia yang akan melatih mereka setiap hari.”

Kelantangan Van Gaal membuka semula perdebatan mengenai struktur pengurusan kelab bola sepak moden.

Kelab gergasi seperti Manchester United sering dikritik kerana memberi keutamaan kepada keuntungan komersial berbanding pembangunan skuad yang mantap dan konsisten.



Source link

OR

Scroll to Top