PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim mengakui skuad kendaliannya perlu melakukan perubahan drastik selepas kekalahan memalukan 4-3 kepada Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Komuniti Gtech, awal pagi Ahad.
Dalam perlawanan itu, Kevin Schade muncul wira tuan rumah apabila meledak dua gol, sekali gus memburukkan lagi kempen liga United yang terus merudum selepas gagal mencatat sebarang kemenangan dalam enam perlawanan terakhir EPL.
Amorim melakukan lapan pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding kemenangan 3-0 ke atas Athletic Bilbao dalam aksi separuh akhir kedua Liga Europa Jumaat lalu, apabila memilih untuk merehatkan beberapa tonggak utama.
Sejak menggantikan Erik ten Hag yang dipecat pada November lalu, Amorim masih belum berjaya membawa keluar United daripada kemerosotan prestasi dan dengan kelab itu kini menghuni tangga ke-15 serta berdepan risiko mencatat penamat liga terburuk sejak tersingkir pada musim 1973-74.
Amorim yang sebelum ini pernah menyuarakan kekecewaannya terhadap pemain, sekali lagi mengakui perlu ada rombakan besar pada jendela perpindahan akan datang.
“Ia mencerminkan keseluruhan musim kami. Kami bermula dengan baik, mengawal permainan tetapi gagal bertahan ketika situasi bola mati dan lontaran ke dalam. Kami sudah tahu akan hadapi masalah itu.
“Para pemain perlu sedar bahawa kami tidak boleh terus bermain seperti ini. Kami tahu konteks musim ini dan kami perlu ubah segera,” katanya.
Dalam aksi tersebut, Mason Mount menceriakan penyokong United dengan gol pertamanya musim ini, namun kelebihan itu tidak bertahan apabila gol sendiri Luke Shaw dan jaringan Schade meletakkan Brentford mendahului separuh masa pertama.
Schade menambah gol ketiganya hasil hantaran Bryan Mbeumo, sebelum Yoane Wissa menambah jaringan keempat daripada jarak dekat selepas benteng pertahanan United dilihat longlai.
Gol cantik Alejandro Garnacho pada minit ke-82 dan jaringan Amad Diallo pada masa kecederaan hanya sekadar sagu hati untuk pasukan pelawat itu.
Mengulas mengenai Mount, Amorim menyifatkan pemain itu sebagai salah satu elemen positif dalam perlawanan tersebut.
“Ia bukan sekadar jaringan, tetapi posisi dia di atas padang. Dia bertindak sebagai pemain tengah ketiga yang mampu mara ke kotak penalti, sangat bijak membaca permainan.
“Dia berlatih dengan begitu gigih, kadangkala terlalu bersungguh sehingga saya terpaksa arahkan dia berhenti. Dia mahu beraksi lebih lama dan saya amat gembira dengan komitmennya,” katanya.