KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United mencatat pendapatan tertinggi dalam sejarah kelab berjumlah £666.5 juta (RM3.93 bilion) sepanjang tahun kewangan berakhir 30 Jun lalu.
Musim lalu, United menamatkan saingan liga di tangga ke-15, pencapaian terburuk sejak kempen penyingkiran 1973/74.
Namun, bermulanya kontrak tajaan jersi utama lima tahun bersama syarikat teknologi Snapdragon melonjakkan hasil komersial kelab kepada £333.3 juta (RM1.97 bilion), manakala kutipan hasil hari perlawanan turut mencecah rekod baharu £160.3 juta (RM946 juta).
“Menjana pendapatan tertinggi dalam sejarah ketika melalui musim sukar membuktikan ketahanan Manchester United.
“Kami kini bekerja keras memperbaiki kelab dalam semua aspek, dengan fokus jangka panjang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Omar Berrada.
United turut merekodkan kerugian keseluruhan £33 juta (RM194.7 juta), namun jumlah itu berkurangan hampir 71 peratus berbanding £113.2 juta (RM667.9 juta) pada tahun sebelumnya.
Kelab itu menegaskan mereka kekal mematuhi Peraturan Keuntungan dan Kemampanan EPL serta Peraturan Kewangan Fair Play (FFP) Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
Jumlah kakitangan kelab merosot daripada 1,100 kepada 700 dalam tempoh dua tahun berikutan langkah pemberhentian besar-besaran yang mengundang kritikan.
Bagaimanapun, pengurusan mempertahankan keputusan tersebut sebagai strategi memberi ruang kewangan untuk pelaburan skuad.
Kos gaji pemain turut dipotong £51.5 juta (RM303.9 juta) kepada £313.2 juta (RM1.85 bilion), sebahagian besarnya akibat kegagalan layak ke Liga Juara-Juara yang mencetuskan potongan automatik 25 peratus terhadap kontrak pemain.
Laporan kewangan juga merekodkan kos luar biasa sebanyak £36.6 juta (RM215.9 juta) melibatkan pampasan kepada bekas pengendali Erik ten Hag, interim Ruud van Nistelrooy serta bekas pengarah teknikal Dan Ashworth.
Bagaimanapun, isu hutang kekal menjadi tumpuan apabila United masih menanggung hutang jangka panjang sebanyak AS$650 juta (RM2.86 bilion), manakala pinjaman kredit melonjak kepada £165.1 juta (RM974.1 juta) berbanding £35.6 juta (RM210 juta) tahun sebelumnya.
Liabiliti keseluruhan, termasuk ansuran pembelian pemain, meningkat kepada £564.6 juta (RM925.1 juta).
Sejak Julai, United berbelanja besar dengan membawa masuk Bryan Mbeumo (Brentford), Benjamin Sesko (RB Leipzig) dan Senne Lammens (Royal Antwerp) dengan jumlah keseluruhan £156.8 juta (RM925.1 juta).
Pihak kelab mempertahankan pelaburan itu sebagai bukti kesungguhan mereka untuk menghentikan kemerosotan prestasi dan kembali merebut trofi utama.
Menurut Deloitte, United berada di kedudukan keempat kelab bola sepak berpendapatan tertinggi dunia pada Januari lalu dengan jumlah £651 juta (RM3.84 bilion), di belakang Real Madrid (RM5.21 bilion), Manchester City (RM4.18 bilion) dan Paris Saint-Germain (RM4.02 bilion).
United kini optimis mencatat pendapatan antara £640 juta (RM3.78 bilion) hingga £660 juta (RM3.89 bilion) menjelang 30 Jun 2026, hasil strategi pemotongan kos dan sokongan tajaan baharu yang diharap dapat menstabilkan kewangan serta menyokong misi utama iaitu kembali mencipta kejayaan di padang.
Ringkasan AI
- Manchester United mencatat pendapatan tertinggi dalam sejarah kelab berjumlah £666.5 juta sepanjang tahun kewangan berakhir 30 Jun lalu
- Musim lalu, United menamatkan saingan liga di tangga ke-15, pencapaian terburuk sejak kempen penyingkiran 1973/74
- Pendapatan kelab melonjak dengan kontrak tajaan jersi utama lima tahun bersama Snapdragon dan hari perlawanan mencapai rekod baharu
- Manchester United merekodkan kerugian keseluruhan £33 juta, namun berkurangan hampir 71 peratus berbanding tahun sebelumnya
- United menegaskan kepatuhan kepada Peraturan Keuntungan dan Kemampanan EPL serta Peraturan Kewangan Fair Play UEFA