Manchester United ‘sapu’ RM45.66 juta beraksi di KL, Hong Kong

Manchester United ‘sapu’ RM45.66 juta beraksi di KL, Hong Kong


United akan menentang pasukan pilihan Hong Kong selepas aksi berdepan ASEAN All-Stars di Bukit Jalil. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

MANCHESTER United membawa pulang habuan lumayan hasil daripada jelajah mereka ke Asia menerusi dua perlawanan persahabatan berlangsung di Kuala Lumpur dan Hong Kong.

Skuad kendalian Ruben Amorim itu telah mengharungi perlawanan pertama dalam kempen jelajah mereka apabila tewas mengejut 0-1 kepada pasukan ASEAN All-Stars dalam aksi Piala Cabaran Maybank yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Namun, kekalahan itu tidak menghalang mereka untuk mendapatkan bayaran lumayan dan seperti dilaporkan Mail Sport, United dibayar £8 juta (RM45.66 juta) untuk perlawanan di Kuala Lumpur dan Hong Kong itu.

Selepas ini, mereka dijadualkan bertemu pasukan pilihan tempatan Hong Kong di Stadium Hong Kong yang berkapasiti 40,000 tempat duduk.

Bagaimanapun, perlawanan di Hong Kong itu dikatakan bertembung dengan aksi final Piala FA Hong Kong yang akan berlangsung di Stadium Mong Kok, menimbulkan sedikit konflik tarikh dalam kalendar bola sepak tempatan.

Jelajah ini dianjurkan oleh ProEvents dan dibawakan oleh Snapdragon, penaja rasmi jersi United.

Menurut laporan Mail Sport lagi, kunjungan ini merupakan sebahagian daripada usaha kelab untuk menjana pendapatan selepas kehilangan potensi pulangan sekitar £85 juta gara-gara tewas kepada Tottenham Hotspur dalam final Liga Europa.



Source link

OR

Scroll to Top