KAPTEN Manchester United, Bruno Fernandes mengakui pasukannya berada pada tahap yang teruk selepas kekalahan memalukan 1-4 di tangan Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Red Devils kini terperosok di tangga ke-14 liga, ketinggalan tujuh mata daripada kelompok 10 terbaik. Fernandes tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya.
Malah, United turut mengulangi rekod buruk musim lalu dengan 14 kekalahan. Kali terakhir Red Devils mengalami lebih banyak kekalahan dalam satu musim EPL adalah pada musim 1989/90, dengan 16 kekalahan dalam 38 perlawanan.
“Tidak banyak yang boleh dikatakan. Kami kalah, itu sahaja. Separuh masa pertama kami bermain baik, tapi kami gagal mengekalkannya pada separuh masa kedua.
“Kami tahu ini musim yang sukar. Kedudukan kami dalam liga tidak melambangkan pasukan ini, tetapi itulah kenyataannya. Kami tidak konsisten dan kami kurang keberanian dalam permainan.
“Namun hari ini kami cuba bermain berani, malangnya kami dibolosi ketika sedang cuba melakukannya,” katanya.
Fernandes berkata, dia sedar kritikan pasti perlu dihadapi oleh United kerana reputasi besar kelab tersebut.
“Memang mudah untuk mengkritik kerana kelab ini tidak pernah alami penderitaan seperti ini. Tapi kami semua tahu, jika bermain untuk United, kritikan adalah lumrah,” katanya.
Tumpuan kini terarah kepada aksi kedua suku akhir Liga Europa menentang Lyon pada Khamis ini, satu-satunya harapan untuk menamatkan musim dengan pencapaian membanggakan.
“Penyokong bersama kami sepanjang musim, walaupun ketika kami dalam situasi sukar. Hari ini pun mereka masih memberikan sokongan. Sudah tiba masanya untuk kami membalasnya.
“Saya tahu betapa beratnya tanggungjawab mewakili kelab ini. Semua pemain mahu mencipta sejarah dan dikenang kerana kejayaan bersama United.
“Kami perlu bangkit. Perlawanan besar menanti dan kami harus bersedia dari segi mental dan fizikal. Ini peluang untuk mara ke separuh akhir – dan kami akan lakukan segala-galanya untuk menang,” ujarnya.
OR