Manchester United tutup pintu kepulangan Ronaldo?

Manchester United tutup pintu kepulangan Ronaldo?


NAMA Cristiano Ronaldo kembali menjadi bualan hangat dunia bola sepak, namun kali ini bukan kerana jaringan atau rekod luar biasa.

Sebaliknya, perhatian tertumpu kepada ketegangan yang tercetus di Al-Nassr, sekali gus menghidupkan semula spekulasi mengenai masa depannya termasuk kemungkinan kembali ke Manchester United.

Kontroversi bermula apabila Ronaldo tidak diturunkan dalam aksi liga menentang Al-Riyadh pada Isnin lalu.

Walaupun Al-Nassr tetap menang 1-0, ketiadaan bintang Portugal itu mencetuskan tanda tanya besar.

Beberapa laporan mendedahkan rasa tidak puas hatinya terhadap dasar pengambilan pemain oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi yang didakwa menjejaskan keupayaan Al-Nassr untuk membina pasukan cukup kuat bagi memburu kejuaraan.

Situasi itu menjadi semakin tegang selepas Karim Benzema meninggalkan Al-Ittihad untuk menyertai Al-Hilal.

Ronaldo dikatakan melihat kelab pesaing dalam Liga Pro Saudi (RSL) terus diperkasakan, manakala Al-Nassr pula gagal membawa masuk pemain berprofil tinggi, sekali gus menambah tekanan terhadap projek yang sedang dibinanya di Saudi.

Spekulasi Old Trafford

Dalam keadaan itu, spekulasi mengenai masa depan Ronaldo kembali rancak.

Walaupun masih terikat kontrak sehingga 2027, klausa tertentu membolehkannya meninggalkan Al-Nassr lebih awal.

Seperti dijangka, United kembali disebut, kelab yang pernah menjadi pentas kebangkitannya sebagai bintang bola sepak dunia.

Ronaldo membuat kemunculan pertama bersama United dalam perlawanan EPL menentang Bolton pada 16 Ogos 2003. Foto Agensi

Ronaldo bukan figura asing di Old Trafford. Dua penggal bersama United menyaksikannya memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL), selain membentuk identitinya sebagai antara pemain terbaik dunia.

Bagi sebahagian penyokong, idea melihat semula Ronaldo menyarung jersi merah masih mengundang emosi nostalgia.

Namun realiti di sebalik tabir berbeza. Menurut laporan teamTALK, pengurusan tertinggi United tidak berminat untuk membuka lembaran lama itu.

Walaupun terdapat dakwaan Ronaldo sanggup menerima pengurangan gaji demi kembali ke Old Trafford, kelab dilaporkan sudah menetapkan pendirian untuk tidak membawa pulang bekas bintang mereka.

Visi United

Keputusan itu selari dengan hala tuju semasa United yang lebih menekankan pembinaan skuad jangka panjang, berasaskan pemain muda dan perancangan berperingkat, berbanding bergantung kepada nama besar yang sudah berada di penghujung karier.

Perpisahan pahit pada 2022 turut menjadi bayangan yang masih segar. Wawancara kontroversi Ronaldo ketika itu meninggalkan kesan mendalam, walaupun kedua-dua pihak dikatakan masih saling menghormati secara profesional.

Ronaldo mempunyai hubungan cukup akrab dengan Sir Alex Ferguson. Foto Agensi

Ronaldo mempunyai hubungan cukup akrab dengan Sir Alex Ferguson. Foto Agensi

Hakikatnya, jika Ronaldo benar-benar memilih untuk meninggalkan Al-Nassr dalam masa terdekat, United tidak berada dalam senarai destinasi yang dipertimbangkan.

Buat masa ini, tumpuan turut terarah kepada reaksi Al-Nassr terhadap ketidakhadiran Ronaldo, sama ada kelab akan mengambil tindakan disiplin atau memilih meredakan keadaan.

Apa pun, penyerang berusia 40 tahun itu kekal sebagai penjaring terbanyak pasukan dengan 17 gol musim ini, sekali gus membuktikan sentuhannya masih berbisa.

Bagi penyokong The Red Devils, perkembangan ini mungkin meredakan nostalgia terhadap figura lama.

Namun pada masa sama, ia menggambarkan kecenderungan kelab untuk terus melangkah ke hadapan, dengan tumpuan diberikan kepada pembinaan hala tuju dan identiti semasa tanpa terlalu bergantung pada bayangan masa lalu.

Ringkasan AI

  • Cristiano Ronaldo menjadi bualan hangat kerana ketegangan di Al-Nassr dan spekulasi masa depannya termasuk kemungkinan kembali ke Manchester United
  • Ronaldo tidak diturunkan dalam aksi liga menentang Al-Riyadh, menimbulkan tanda tanya besar
  • Ronaldo tidak puas hati dengan dasar pengambilan pemain oleh Al-Nassr yang didakwa menjejaskan pembinaan pasukan
  • Walaupun ada spekulasi mengenai kembali ke Manchester United, pengurusan tertinggi United tidak berminat
  • Keputusan United untuk tidak membawa Ronaldo pulang selari dengan visi pembinaan skuad jangka panjang berdasarkan pemain muda



Source link

OR

Scroll to Top