am@hmetro.com.my
Georgetown: Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut, Jalan Ayer Itam di sini, mengambil inisiatif mandi air bunga dalam kolam bagi meraikan seramai 21 kanak-kanak dalam program Khatan Perdana.
Ia menjadi simbolik bagi mengembalikan tradisi lalu selain menjadikan badan lebih segar dan harum.
Pelbagai gelagat lucu peserta yang berusia tujuh hingga 10 tahun dapat dilihat sebelum dan selepas menjalani proses berkhatan.
Antara yang mencuri tumpuan ialah tiga beradik, Adam Qhaleef Muhd Syahmie, 6; Aqeef Isyraf 5 dan Ammar Rizqi 4.
Ibunya, Nurilyana Kamar Baharin, 40, berkata berikutan teruja, semua anaknya bangun sendiri seawal jam 5 pagi bagi bersiap ke masjid berkenaan.
“Aqeef Isyraf paling tidak sabar hendak ke masjid, terutama apabila mengetahui mereka diraikan dengan cara mandi air bunga dalam kolam.
“Mereka berkhatan serentak, ini pengalaman mereka pada cuti sekolah kali ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sementara itu, Rayyan Samsul Kamal, 9, turut berkongsi pengalaman berkhatan bersama kembarnya, Raihan.
Ibu mereka, Asmawati Jamil, 40 berkata, Raihan tidak kuat menangis dan lebih tenang berbanding abangnya Rayyan.
“Suami saya baharu sahaja menjalani pembedahan tiga hari lalu dan tidak dapat hadir bersama, mungkin jika dia ada dapatlah menenangkan Rayyan.
“Di rumah nanti pasti lebih lucu apabila lihat deretan tilam suami dan tiga anak yang berbaring bersama-sama sepanjang tempoh pemulihan,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut, Yusof Yaacob berkata, program kali ini turut menerima penyertaan peserta dari daerah lain negeri ini.
“Mereka terdahulu dimandikan menggunakan air semburan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Jalan Perak.
“Kemudian, mereka dibawa ‘berendam’ dalam air kolam yang dipenuhi pelbagai jenis bunga dan campuran limau purut.
“Ia sebagai simbolik berkhatan cara tradisi lalu dan kita mahu kembalikan kenangan itu kepada generasi kini.
“Kita juga mahu beri gambaran kepada kanak-kanak lain bahawa berkhatan bukan sesuatu yang menakutkan, tetapi akan jadi pengalaman manis ketika dewasa nanti,” katanya khatan dilakukan lima doktor dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
© New Straits Times Press (M) Bhd






