JEMAAH haji Malaysia yang sudah tiba di Tanah Suci digesa memanfaatkan peluang beribadah di Masjidil Haram dengan memperbanyakkan solat berjemaah, beriktikaf dan melakukan tawaf sunat selagi masih berpeluang.
Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji (TH), Shahrin Awaludin berkata, meskipun pahala beribadah di seluruh kawasan Tanah Haram digandakan 100,000 kali ganda, namun ada kelebihan istimewa yang hanya boleh diraih di Masjidil Haram, khususnya melalui ibadah tawaf.
“Sekarang ini, jemaah dari negara lain masih belum ramai. Jadi kita galakkan jemaah Malaysia yang masih sihat, yang muda-muda supaya gunakan peluang ini terutama pada waktu Subuh untuk maksimumkan ibadah di Masjidil Haram,” katanya.
Beliau mengingatkan, haji adalah ibadah sekali seumur hidup bagi kebanyakan orang, malah kajian menunjukkan sekitar 30 peratus jemaah adalah kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
SHAHRIN
“Kita faham ada dalam kalangan jemaah yang rasa bimbang, risau untuk laksanakan ibadah dengan sempurna. Memang betul, kalau tiada ilmu atau tak hadiri kursus sebelum berangkat, pasti akan rasa runsing,” ujarnya.
Menurut Shahrin, untuk mencapai haji mabrur, jemaah perlu terlebih dahulu memahami dengan baik konsep syahadah, solat, puasa dan zakat sebelum mampu mencapai kesempurnaan dalam melaksanakan ibadah haji.
“Kepada jemaah yang terpilih sampai ke Tanah Suci, ingatlah bahawa Islam itu agama yang mudah. Walaupun nampak susah, hakikatnya ibadah haji ini tujuannya adalah untuk mendidik kita taat kepada perintah ALLAH SWT dan meningkatkan ketakwaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ibadah tersebut tetap perlu dilaksanakan mengikut cara dan kaedah yang ditunjukkan Rasulullah SAW.
“Oleh sebab itu, kalau ada sebarang keraguan, walaupun soalan kecil, jangan segan untuk datang bertanya kepada pembimbing supaya dapat pengesahan.

UNTUK mencapai haji mabrur, jemaah perlu terlebih dahulu memahami dengan baik konsep syahadah, solat, puasa dan zakat sebelum mampu mencapai kesempurnaan dalam melaksanakan ibadah haji.
“Dalam ibadah, keyakinan sangat penting untuk kesempurnaan,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan supaya jemaah melakukan ibadah mengikut kemampuan dan secara berperingkat, tanpa membebankan diri.
“Ambillah peluang ini untuk tambahkan ketaatan, dan berdoalah sebanyak mungkin kerana di sinilah bumi yang doa-doanya dimakbulkan ALLAH SWT,” katanya.