am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Peningkatan kes penipuan dalam talian bukan disebabkan ‘pukau’ seperti dakwaan, sebaliknya mangsa terpedaya dengan scammer yang mendakwa mereka melakukan jenayah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan yang dijalankan mendapati mangsa ditakut-takutkan dengan ‘akibat’ yang bakal diterima atas kesalahan dilakukan.
“Tidak ada istilah pukau dalam jenayah komersial, kita sudah buat kajian, sebaliknya mangsa diyakinkan oleh scammer yang menyebabkan mereka takut dan percaya terbabit dengan kegiatan jenayah.
“Modus operandinya dikuatkan lagi dengan pembabitan beberapa individu lain yang kononnya wakil agensi antaranya polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kastam,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK), di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, sepanjang lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 601 kes jenayah komersial direkod dengan kerugian sebanyak RM14.13 juta dengan kebanyakan mangsa adalah pesara kerajaan serta profesional.
Menurutnya, bilangan kes mencatatkan peningkatan sebanyak 151 kes berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu 450 kes, manakala kerugiannya pula berjumlah RM15 juta.
“Kes paling tinggi adalah siber dan multimedia iaitu 401 kes membabitkan kerugian berjumlah RM7.5 juta diikuti pelaburan bersindiket iaitu 105 dengan kerugian RM4.5 juta.
“Semakin berlaku peningkatan meskipun sudah banyak dihebahkan menerusi media massa mengenai penipuan dalam talian dan ia agak membimbangkan.
“Mangsa kebanyakannya berusia 40 ke atas dengan majoritinya adalah pesara kerajaan termasuk golongan profesional dan ada juga doktor yang turut ditipu membabitkan kerugian mencecah RM300,000,” katanya selepas menghadiri Himpunan Bulanan IPK Kelantan, di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, modus operandi yang dilakukan scammer antaranya menerusi ‘phone scam’, e-dagang, tipu tawaran kerja dan ‘phishing’.
Katanya, platform Facebook dilaporkan paling banyak mengumpulkan mangsa akibat penipuan dalam talian selain Telegram, TikTok dan Whatsapp.
© New Straits Times Press (M) Bhd