anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jumlah mangsa kebakaran saluran paip gas meletup dan terbakar di Putra Heights Subang Jaya, Selangor, terus meningkat kepada 427 individu malam ini.
Ia membabitkan 91 keluarga yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)
di dewan Masjid Putra Heights, Subang Jaya setakat jam 10 malam ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Selangor, PPj (PA) Ghazali Abd Rahman berkata, turut dipindahkan adalah 33 warga emas, 118 kanak-kanak dan 16 bayi yang menjadi mangsa dalam tragedi pagi tadi.
Beliau berkata, seramai 50 anggota APM Selangor dan Wilayah Persekutuan bertungkus lumus membantu dan mengendalikan mangsa di pusat PPS berkenaan sejak siang tadi.
Menurutnya, selain menyediakan tempat berlindung yang selesa, APM turut bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam mengagihkan bantal, selimut dan pakaian sesuai untuk mangsa.
“Sebelum ini, mangsa mangsa yang cedera sudah diberikan bantuan awal dengan kerjasama pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mereka dihantar ke hospital untuk menerima rawatan susulan.
“Mangsa yang berlindung di PPS ini sekarang adalah dikalangan mangsa yang terselamat dan tidak mengalami kecederaan. Rata-rata mereka berdepan kerosakan atau terbakar pada kediaman masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, anggota APM turut membantu membawa mangsa menaiki trak APM untuk mengambil barangan penting seperti dokumen dan ubat-ubatan di rumah masing-masing mulai jam 6.30 petang tadi.
“Kami bekerjasama dengan pihak bomba dan polis bagi memudahkan mangsa kembali ke kawasan bencana ‘ground zero’ untuk mengambil barang peribadi berharga,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan bersiap sedia di kawasan itu bagi tugas pemantauan dan menghadapi sebarang kemungkinan. Ini termasuk bantuan logistik dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd