Mangsa tragedi Putra Heights mahu bangkit semula

Mangsa tragedi Putra Heights mahu bangkit semula


SHAH ALAM: Mangsa letupan paip gas Putra Height, Mohd. Khairul Amin Mohd. Rashid, 38, berazam bangkit kembali membangunkan perniagaan yang musnah akibat kejadian yang berlaku pada awal bulan ini.

 

Menurutnya yang mengusahakan perniagaan kanopi, sewaan pengangkutan dan kedai makan, sejak tiga minggu lalu dia lebih banyak menyendiri dan memantau keadaan ibunya,Yatimah Mohd.Noor, 69, yang masih dirawat akibat melecur di beberapa bahagian tubuh di Hospital Putrajaya.

 

“Bukan mudah untuk saya pulih dari trauma dalam masa yang singkat. Baru sekarang saya mempunyai kekuatan untuk  berhadapan dengan orang ramai.

 

“Ada pihak media yang cuba menghubungi untuk temuramah selepas beberapa hari kejadian yang tidak diduga itu berlaku. Namun saya tiada kekuatan untuk berkongsi,” katanya pada Majlis Aidilfitri Bersama Usahawan Hijrah Selangor di Seksyen 7 di sini hari ini.

 

Mohd. Khairul dan seorang lagi usahawan, Azrim Shaari, 52, menerima bantuan Inisiatif Kasih Hijrah sebanyak RM2,000 seorang daripada Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Mohd. Halimi.

 

Sementara itu, Azrim dari Kampung Tengah berkata, beliau mengalami kerugian lebih RM15,000 selepas rumah, kenderaan dan barangan rumah rosak akibat kejadian tersebut.

 

“Anak-anak jadi takut. Mereka tidak mahu lagi tinggal di rumah itu. Saya pun masih fikir macam mana hendak mulakan semula. 

 

“Sebagai peniaga alat pemadam kebakaran kesemua produk perniagaan berada di pejabat di Rimbayu. Cuma masalah pada saat ini bagaimana dan kepada siapa tuntutan kerugian hendak disalurkan,” ujarnya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top