Maniam bersama kapten PDRM FC, Faith Friday Obilor semasa sidang media pra perlawanan akhir pertama Piala Cabaran di Petaling Jaya pada Jumaat. Foto: Media SFC
PENGENDALI PDRM FC, P Maniam mahu pasukan penyandang juara itu menikmati sepenuhnya tanpa sebarang tekanan, aksi final pertama Piala Cabaran menentang Selangor FC di Petaling Jaya, pada Sabtu.
Maniam, yang juga bekas pemain Selangor, menyeru pemain The Cops untuk menampilkan gaya permainan seperti yang dirancang tanpa terlalu memikirkan kekuatan lawan yang dianggap sebagai pasukan pilihan.
“Kemaraan kami ke final Piala Cabaran ini merupakan satu kejayaan kerana bukan tugas mudah untuk sesebuah pasukan bermain di pentas final secara berturut-turut.
“Sejujurnya saya hanya mahu pemain PDRM turun dan nikmati perlawanan akhir pertama sebaik mungkin dan tidak mahu mereka alami sebarang tekanan.
“Malah, setiap mereka tahu bahawa pasukan kini berada di pentas perlawanan akhir buat kali kedua. Saya yakini mereka tekad menampilkan aksi terbaik masing-masing, apabila diturunkan dalam kesebelasan utama,” katanya pada sidang media pra perlawanan akhir pertama Piala Cabaran di Stadium MBPJ di Kelana Jaya, pada Jumaat.
Sebagai rekod, PDRM menjuarai Piala Cabaran buat pertama kali musim lalu selepas menewaskan Kuching City dengan agregat 4-1.