PORT DICKSON: Tidak timbul soal manifesto Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan merupakan manifesto salin dan tampal (copy paste) daripada manifesto Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, manifesto BN kali ini disediakan selepas diubah suai daripada manifesto yang telah sedia ada sebelum ini.
“Kami tidak mahu bahawa apa yang mereka lakukan di Johor sebagai copy paste, dituduh kami pula melakukan copy paste, sebenarnya kami mempunyai tujuan yang sama iaitu melakukan kesinambungan terhadap agenda yang tergendala apabila kami tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan pada 2018.
‘Maka Datuk Seri Mohamad Hasan tentunya berhak sebagai Pengerusi BN Negeri Sembilan bagi meneruskan kesinambungan agenda ini dan saya fikir akan melakukan dengan lebih baik bersama kepemimpinan BN terutamanya parti-parti komponen BN di Negeri Sembilan ini,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Bersama Masyarakat Kaum India di Negeri Sembilan di Lukut di sini malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau yakin dua calon MIC yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan dapat mengulangi kejayaan calon parti itu semasa PRN Johor lalu.
Beliau juga seterusnya berkata, mahukan dua calon mewakili masyarakat India itu juga dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri jika BN diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir Negeri Sembilan.
Dua calon MIC yang bertanding mewakili BN ialah Datuk R. Thinalan (Seremban Jaya) dan A. Achutan (Sri Tanjung).-UTUSAN.






