Singapura: Pemain England, Richard Mansell akhirnya meraih kejuaraan sulung Jelajah Dunia DP selepas 104 percubaan apabila menjuarai Klasik Singapura dengan kelebihan satu pukulan ke atas Keita Nakajima dari Jepun.
Mansell, 29, mencatat 66 pukulan, enam di bawah par pada pusingan ketiga dan terakhir untuk menamatkan kejohanan dengan 16 di bawah par secara keseluruhan.
Adrien Saddier (Perancis) dan Tom McKibbin (England) berkongsi tempat ketiga, dua pukulan di belakang.
“Saya harap ia datang lebih awal,” kata Mansell yang jelas beremosi selepas menanti begitu lama untuk kemenangan sulungnya.
“Apa perasaan yang luar biasa… semua kegagalan sebelum ini kini terasa begitu berbaloi.”
Kejohanan ini dipendekkan kepada 54 lubang selepas hujan lebat menyebabkan pusingan pertama dibatalkan pada Khamis.
Pemain Amerika Syarikat, Dan Erickson, yang mendahului pada hari terakhir, sekadar berkongsi tempat keenam selepas mencatat dua birdie dan satu bogey.
Nakajima mencuri tumpuan dengan tujuh birdie tanpa bogey, manakala Mansell memastikan kemenangannya dengan birdie dramatik di lubang ke-18 selepas dua putt dari jarak lebih 30 meter.
“Isteri saya menangis kerana kemenangan ini. Saya mahu beritahu kepada sesiapa yang ingin jadikan golf sebagai karier, saat ini adalah sesuatu yang paling bermakna dalam hidup. Ia berbaloi.”
Dengan kemenangan ini, Mansell membawa pulang hampir €400,000 (RM2.04 juta) sebagai hadiah kemenangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd