Mansuh Piala MFL langkah perkasa daya saing pemain muda Liga Super

Mansuh Piala MFL langkah perkasa daya saing pemain muda Liga Super


Pemain muda berpeluang menyerlahkan daya saing sebenar dengan pemansuhan saingan Liga MFL. Foto Sabah FC

KEPUTUSAN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memansuhkan Piala MFL mulai musim 2025-2026 disifatkan peluang terbaik untuk pemain muda tempatan bersaing di pentas Liga Super.

Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, berpendapat pemain muda berusia 18 hingga 20 tahun sepatutnya tidak memerlukan Piala MFL sudah bersedia untuk berada dalam skuad utama.

Beliau menyokong penuh pemansuhan kejohanan itu kerana ingin melihat pemain muda lebih berdaya saing dan cepat menembusi pasukan utama.

“Pemain muda perlu diberi peluang untuk bersaing di Liga Super. Ini akan mempercepatkan pembangunan mereka dan memberi mereka pengalaman berharga,” kata Yusri.

MFL sebelum itu dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan Piala MFL tidak akan dipertandingkan musim 2025-2026 apabila rakan kongsi liga sebulat suara bersetuju memansuhkan saingan Bawah 23 tahun itu.

Keputusan untuk memansuhkan Piala MFL dibuat menerusi perbincangan bersama rakan kongsi liga yang terdiri daripada 13 Kelab Liga Super dalam pertemuan pada 19 Februari lalu.

Selepas dua musim dianjurkan sejak 2023, MFL mendapati kelab menanggung perbelanjaan tinggi dari segi pembayaran gaji pemain dan operasi logistik sehingga mencecah RM28 juta bagi kos yang ditanggung keseluruhan kelab Liga Super.

Pandangan ini turut disokong pengendali Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, yang melihat pemansuhan Piala MFL sebagai peluang untuk pemain muda menimba pengalaman bersama pasukan senior.

Beliau berharap pemain muda akan merebut peluang ini untuk membuktikan kemampuan mereka di pentas Liga Super.

“Ini adalah peluang keemasan untuk pemain muda kita. Mereka perlu menggunakan peluang ini untuk menimba pengalaman dan berkembang sebagai pemain profesional,” ujar Badrul.



Source link

OR

Scroll to Top