June 24, 2024

Maqis Johor patah cubaan import sardin ada cacing parasit



farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas 16,320 kilogram (kg) tin sardin dari China, yang mengandungi cacing parasit Anisakis sp. cuba diimport masuk ke negara ini, awal bulan ini.

Pengarahnya, Edie Putra Md Yusof, berkata penemuan cacing parasit di dalam sardin berkenaan selepas agensi itu menghantar sampel sardin ke Jabatan Kimia Malaysia bagi dianalisis.

Katanya, penemuan itu bermula apabila Maqis Johor menyita sebuah lori yang membawa muatan sardin dalam tin dianggarkan sebanyak 16,320 kg bernilai RM 83,879.84 yang diimport dari Singapura melalui pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, awal bulan ini.

“Tindakan sitaan terhadap lori itu dibuat berikutan sardin dalam tin itu diimport tanpa permit import daripada Maqis.

“Pemeriksaan lanjut secara fizikal terhadap sardin dalam tin dari China itu mendapati kehadiran bendasing dalam tin sardin berkenaan.

“Beberapa sampel tin sardin kemudian dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut sebelum bendasing itu disahkan sebagai cacing parasit Anisakis sp,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Edie Putra berkata, tindakan cuba mengimport sardin mengandungi cacing parasit itu adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] .

Katanya, ia kerana mengimport barangan yang mengandungi perosak, penyakit atau bahan cemar yang berbahaya kepada pengguna dan boleh di hukum di bawah akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, kesalahan itu boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Maqis komited dalam menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan tiada perosak dan penyakit yang memasuki negara demi menjamin keselamatan makanan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top