‘Mara ke final Liga Europa tidak bermakna jika gagal tewaskan Spurs’

‘Mara ke final Liga Europa tidak bermakna jika gagal tewaskan Spurs’


PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim berkata pada Khamis bahawa kejayaan pasukannya mara ke final Liga Europa tidak akan bermakna jika mereka gagal menewaskan Tottenham Hotspur dalam perlawanan kemuncak di Bilbao pada 22 Mei nanti.

United yang bergelut musim ini membelasah Athletic Bilbao dengan agregat 7-1 untuk menempah tempat ke final kejohanan kelab kedua tertinggi Eropah itu.

Pasukan di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan menentang Spurs yang kini di kedudukan ke-16 dengan pemenang dijamin tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Ia adalah perkara paling minimum yang boleh kami lakukan untuk penyokong kami, atas sokongan yang mereka berikan dalam musim yang sukar ini.

“Saya sudah pun berasa tertekan kerana perlawanan akhir. Jika kami gagal memenanginya, semua ini tidak bermakna, tetapi kami gembira untuk berada di sana, jadi kita lihat nanti.

“Saya tahu saya sepatutnya menjadi pengurus yang lebih baik dan pasukan juga patut bermain lebih baik ketika ini, tetapi kami sedang mencuba. Kami bermain agak baik di Eropah tetapi bergelut dalam EPL,” katanya.

Spurs mara ke final selepas mencatat kemenangan agregat 5-1 ke atas kelab Norway, Bodo/Glimt.

Pasukan kendalian Ange Postecoglou turut melalui musim yang mencabar seperti United dan turut melihat kejayaan di Liga Europa sebagai satu-satunya cara untuk menyelamatkan kempen mereka.

Spurs telah menewaskan United tiga kali musim ini, dengan kemenangan 3-0 dan 1-0 dalam Liga Perdana serta 4-3 dalam Piala Liga.

“Kami perlu turunkan skuad penuh (menentang Spurs), kekal fokus sepanjang perlawanan dan berharap ada sedikit tuah serta penyudah yang klinikal.

“Ia agak serupa untuk saya dan Ange. Ini adalah saat yang sukar dan salah seorang daripada kami akan menang.

Ia akan menjadi final yang besar dan kami akan cuba untuk menang,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top