Azhar (tiga dari kiri) bersama pemain pasukan Mara yang menggalas cabaran Piala Tun Ali 2025 di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, Melaka pada 3 hingga 9 November ini. FOTO: ROSLI TALIB
JURULATIH sepak takraw berpengalaman Azhar Sarabini atau lebih dikenali Cikgu Ad, kembali mencuri perhatian selepas beberapa tahun menyepi apabila diumumkan mengendalikan pasukan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk Kejohanan Piala Tun Ali 2025 yang dijadual bermula minggu depan.
Kepulangan semula figura berpengalaman itu dianggap sebagai suntikan semangat baharu dalam arena takraw tempatan terutama selepas kali terakhir muncul bersama Kuala Lumpur (KL) Thunder menjuarai Liga Sepak Takraw (STL) pada 2022, sebelum mengambil keputusan berehat seketika daripada dunia kejurulatihan profesional.
Penampilan semula Azhar bukan sekadar kemunculan biasa, tetapi satu penegasan bahawa pengaruh dan sentuhannya masih relevan serta ditagih dalam memperkukuh pembangunan pasukan.
Menariknya, beliau kali ini kembali bergandingan melatih dua ‘anak didik lamanya’ Syahir Rosdi dan Amirul Zazwan Amir yang pernah berada di bawah bimbingannya ketika era kegemilangan KL Thunder.

Saingan Piala Tun Ali 2025 INFOGRAFIK: PSM
“Saya anggap ini bukan sekadar ‘comeback’, tapi satu tanggungjawab untuk terus menyumbang kepada sukan yang membesarkan saya.
“Selepas berehat, saya lihat banyak potensi baharu dalam bakat muda dan saya mahu bantu mereka capai tahap terbaik,” katanya yang kini turut terlibat menggerakkan Akademik Sepak Takraw Melaka.
Sebagai rekod, cabaran Mara dalam penampilan sulung edisi keempat Piala Tun Ali dibawah kendalian Azhar juga turut diperkuatkan Aekkasit Naphom, Muhammad Firdaus Hamidi dan Amyrul Syafiq Shamuddin.
Mengulas lanjut Azhar turut menegaskan bahawa semangat dan keghairahan terhadap sukan takraw tidak pernah pudar, malah semakin membara apabila melihat perkembangan positif sukan itu di peringkat akar umbi.
“Saya rindu suasana gelanggang, rindu jeritan penyokong, dan paling penting rindu untuk melihat anak-anak Malaysia berjuang mengangkat martabat takraw kita.
“Pasukan Mara ini ada semangat luar biasa, dan saya yakin mereka mampu mencipta kejutan di Piala Tun Ali nanti,”katanya.
INFO
Piala Tun Ali Edisi Keempat 2025
Tarikh: 3 hingga 9 November
Venue: Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit, Melaka
Ringkasan AI
- Jurulatih sepak takraw berpengalaman Azhar Sarabini kembali mengendalikan pasukan MARA untuk Kejohanan Piala Tun Ali 2025
- Kepulangan Azhar dianggap sebagai suntikan semangat baharu dalam arena takraw tempatan
- Azhar kembali bergandingan melatih dua anak didik lamanya Syahir Rosdi dan Amirul Zazwan Amir
- Azhar turut terlibat menggerakkan Akademik Sepak Takraw Melaka
- Piala Tun Ali Edisi Keempat 2025 akan diadakan dari 3 hingga 9 November di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah






