MARA tidak kompromi kes rasuah, pecah amanah kakitangan

MARA tidak kompromi kes rasuah, pecah amanah kakitangan


am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah, penyelewengan atau pecah amanah membabitkan pegawai dan kakitangannya.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MARA tidak pernah menutup atau menyembunyikan sebarang salah laku mana-mana pihak, sebaliknya setiap kes akan ditangani secara telus mengikut proses perundangan.

“Kita tidak akan kompromi sebab itulah kita tak pernah menutup (dan) kita tak pernah menyorok (salah laku) di bawah permaidani kerana bagi kita, perkara yang membabitkan soal integriti, soal disiplin, soal kepatuhan kepada tadbir urus yang tinggi adalah sesuatu yang memang ditekankan dalam MARA.

“Sebab itu kalau ada salah laku, dia akan melalui proses yang biasa tetapi kalau membabitkan pecah amanah membabitkan wang dan sebagainya, kita sendiri akan lapor kepada polis dan pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia )… Biar mahkamah yang menentukan,” katanya ketika hadir merasmikan Majlis Peluncuran Logistic Learning Provider (LLP) di Kolej Profesional MARA Bandar Penawar, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes bekas pegawai MARA di negeri ini yang berdepan pertuduhan pecah amanah, baru-baru ini.

Asyraf Wajdi berkata, budaya kerja MARA berteraskan 3iP iaitu integriti, ihsan dan inovatif yang digabungkan dengan profesionalisme tinggi.

“Saya sentiasa mengingatkan warga MARA, budaya kerja kita mesti berteraskan integriti yang tinggi. Kedua, nilai ihsan apabila berhadapan dengan pelbagai kelompok masyarakat, dan ketiga, inovatif yang diadunkan dengan profesionalisme.

“Sudah tentu kita manusia pun tak sempurna tetapi tidak menjadikan alasan bahawa kita merelakan ataupun menghalalkan sebarang salah laku yang berlaku,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang bekas pegawai MARA dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar bulan lalu atas keseluruhannya 66 pertuduhan pertuduhan pecah amanah membabitkan wang bayaran balik pinjaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top