MARDI nilai tiga hibrid durian baharu sebelum dilancar

MARDI nilai tiga hibrid durian baharu sebelum dilancar


am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kini di peringkat akhir penilaian terhadap tiga hibrid durian baharu yang berpotensi dilancarkan sebagai varieti premium bagi memenuhi permintaan pengguna serta industri.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata ketiga-tiga hibrid itu sedang melalui proses penilaian bagi memastikan kualiti buah, penerimaan pengguna serta kesesuaiannya untuk ditanam secara komersial oleh petani.

“Kita ada kira-kira tiga hibrid yang sedang dalam ‘pipeline’.

“Pokoknya sudah matang, namun kita mahu memastikan hasil pengeluaran mencukupi sebelum diisytiharkan sebagai klon baharu.

“Kita tidak mahu melancarkan varieti baharu sekiranya pengeluaran buah masih terhad kerana orang ramai juga mahu merasai sendiri buah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Program Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bersama media di Taman Agroteknologi MARDI Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Mohamad Zabawi berkata, ketika ini MARDI mempunyai tiga varieti premium utama iaitu MS88 (dahulunya dikenali sebagai MDUR88), selain MDUR78 dan MDUR79.

Beliau berkata, musim durian tahun ini menunjukkan pengeluaran yang jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu berikutan keadaan cuaca yang sesuai termasuk tempoh cuaca panas yang merangsang pembungaan sebelum disusuli hujan yang membantu perkembangan buah.

“Selain faktor cuaca, pokok durian yang ditanam sekitar lima hingga enam tahun lalu termasuk varieti M288, juga sudah mula mengeluarkan hasil dan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran musim ini,” katanya.

Mengulas isu lambakan durian, beliau berkata, MARDI tidak terbabit secara langsung dalam pemasaran hasil, namun mampu membantu melalui teknologi penyimpanan bagi memanjangkan jangka hayat buah.

Katanya, teknologi kriogenik yang dibangunkan MARDI mampu mengekalkan kesegaran durian sehingga enam bulan dengan rasa yang hampir menyamai buah segar.

“Teknologi ini juga digunakan untuk buah-buahan lain seperti nangka dan berpotensi dimanfaatkan syarikat yang ingin menyimpan atau mengeksport buah dalam tempoh lebih lama,” katanya.

Beliau berkata, sejak 2021 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), MARDI sudah mengagihkan kira-kira 25,000 pokok durian varieti MS88 kepada petani di seluruh negara membabitkan kawasan penanaman seluas kira-kira 600 hektar.

Katanya, projek itu akan diteruskan sehingga penghujung Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan pengeluaran varieti berkenaan termasuk bagi tujuan eksport pada masa depan.

Sementara itu, beliau berkata, varieti M288 turut mempunyai potensi besar untuk pasaran eksport kerana memiliki isi tebal, rasa lemak serta sedikit pahit yang menjadi pilihan sebahagian penggemar durian.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MARDI akan terus menaik taraf kemudahan di Taman Agroteknologi Kuala Kangsar termasuk menggantikan pokok buah-buahan yang sudah tua, menambah baik sistem pengairan serta mewujudkan pusat sehenti bagi memberi bimbingan kepada orang ramai mengenai projek laman sayur dan pertanian di rumah.

Beliau berkata, program Duriotourism MARDI Kuala Kangsar yang diperkenalkan sejak awal tahun 2000-an akan diteruskan sepanjang musim durian bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati pelbagai varieti durian hasil penyelidikan MARDI, khususnya MS88.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top