Maresca berang Chelsea lesu di Stamford Bridge

Maresca berang Chelsea lesu di Stamford Bridge


London: Enzo Maresca menempelak pemain Chelsea kerana gagal menunjukkan konsistensi selepas dikejutkan Sunderland yang meraih kemenangan mengejut 2-1 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Maresca dikejutkan dengan jaringan pemain gantian Sunderland, Chemsdine Talbi, pada masa kecederaan yang sekali gus memadam rentetan empat kemenangan berturut-turut The Blues dalam semua pertandingan.

Kekalahan itu sangat berbeza dengan aksi terakhir Chelsea di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), apabila jaringan lewat Estevao Willian memastikan kemenangan ke atas juara bertahan, Liverpool.

Pengendali dari Itali itu mengakui beliau buntu memikirkan bagaimana pasukannya mampu menundukkan Liverpool tetapi tewas kepada Sunderland pasukan yang baru dinaikkan ke EPL musim ini.

“Kami tidak cukup bagus dan dalam EPL, akibatnya boleh jadi buruk.

“Apabila anda tidak mampu menang, perkara paling penting ialah jangan kalah. Jika mahu berada di kelompok teratas, anda perlu konsisten. Menang empat perlawanan berturut-turut dan kemudian tewas begini itu menunjukkan jurang prestasi kami terlalu besar.

“Kalau kami boleh bermain di tahap tinggi dan kemudian merosot sebegini, lebih baik kami kekal di tengah-tengah sekurang-kurangnya konsisten sepanjang masa,” kata Maresca.

Chelsea, yang mahu memperbaiki pencapaian tempat keempat musim lalu dan bersaing merebut kejuaraan, kini tidak mampu lagi melepaskan peluang dalam perlawanan yang sepatutnya mereka menangi.

The Blues mendahului seawal minit keempat apabila Alejandro Garnacho menyambut hantaran Pedro Neto, memperdaya Nordi Mukiele dan melepaskan rembatan rendah di celah kaki Robin Roefs.

Namun Mukiele menebus kesilapan itu apabila lontaran jauhnya mencetuskan kekeliruan di kawasan penalti Chelsea, membolehkan Wilson Isidor menyamakan kedudukan untuk Sunderland.

Selepas itu, Chelsea banyak menguasai bola namun gagal menembusi benteng lawan yang bermain disiplin dan bertahan rapat, sekali gus menguatkan kritikan bahawa corak permainan Maresca terlalu mudah dibaca dan dirantai.

“Kami tidak mencipta banyak peluang.

“Kami bergelut. Pemain perlu beraksi pada tahap 100 peratus. Walaupun ketika mendahului 1-0, kami kalah dalam perebutan bola dan bola kedua. Menentang pasukan seperti ini, anda mesti menang dalam aspek itu,” akui Maresca.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top