JURULATIH Chelsea, Enzo Maresca menyifatkan suasana dalam aksi pembukaan Piala Dunia Kelab yang melibatkan pasukannya pada Isnin sebagai ‘pelik’ selepas The Blues mencatat kemenangan di hadapan hampir 50,000 tempat duduk yang kosong.
Juara Liga Konferensi UEFA itu menewaskan Los Angeles FC 2-0 di Stadium Mercedes-Benz di Atlanta, namun hanya 22,000 penyokong hadir ke stadium yang berkapasiti 71,000 orang itu.
“Persekitaran agak pelik, stadium hampir kosong, tidak penuh.
“Kami adalah pemain profesional, jadi kami perlu menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana sebegini. Apa yang penting adalah sikap dan tingkah laku pemain dan sekali lagi mereka menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi,” katanya.
Maresca turut mengakui pasukannya menjangkakan kehadiran penonton yang lebih ramai, namun optimis suasana akan lebih meriah dalam aksi kedua bertemu Flamengo dari Brazil di Philadelphia.
“Kami juga membuat persediaan untuk perlawanan ini dengan jangkaan suasana yang berbeza sedikit, tapi saya yakin aksi seterusnya akan lebih menarik kerana kita tahu pasukan dari Brazil sentiasa membawa ramai penyokong,” ujarnya.
Untuk rekod, lebih 60,000 penonton hadir ke perlawanan pembukaan yang menyaksikan Lionel Messi bersama Inter Miami menentang Al Ahly pada Sabtu, manakala 80,000 peminat membanjiri Stadium Rose Bowl di Pasadena pada Ahad untuk menyaksikan pertembungan Paris Saint-Germain (PSG) dan Atletico Madrid.
Sementara itu, penyokong Boca Juniors mencetuskan suasana gamat dalam aksi menentang Benfica di Stadium Hard Rock, Miami pada malam Isnin.
Namun perlawanan Chelsea yang berlangsung pada jam 3 petang waktu tempatan pada hari bekerja menyaksikan Stadium Mercedes-Benz hanya dipenuhi kurang satu pertiga kapasitinya.
Atlanta United, pasukan Major League Soccer (MLS) yang berpangkalan di stadium itu, secara purata menarik hampir 45,000 penonton setiap perlawanan dan merupakan kelab paling mendapat sokongan di Amerika Syarikat.
“PSG menentang Atletico di hadapan penyokong yang ramai di Rose Bowl… jadi saya tak pasti sama ada lebih ramai peminat di Los Angeles yang berminat dengan kejohanan ini berbanding di sini, atau mungkin kombinasi pasukan malam ini,” kata jurulatih LA FC, Steve Cherundolo.
Bagaimanapun, dia merasakan masih terlalu awal untuk menilai kejayaan kejohanan baharu anjuran FIFA itu hanya berdasarkan satu perlawanan.
“Mengenai jumlah penonton, saya rasa ia berbeza bagi setiap perlawanan, jadi saya rasa belum masanya untuk membincangkannya sekarang.
“Kita sepatutnya tunggu sehingga tamat kejohanan untuk memberi penilaian secara keseluruhan, bukan berdasarkan satu perlawanan sahaja,” katanya.