Maresca terap elemen 'permainan catur' berdepan PSG

Maresca terap elemen 'permainan catur' berdepan PSG


East Rutherford: Pengurus Chelsea, Enzo Maresca menyamakan perlawanan akhir Piala Dunia Kelab awal pagi Isnin ini menentang Paris Saint Germain (PSG) seperti permainan catur, ketika The Blues bersiap untuk berdepan juara Liga Juara-Juara dan gergasi Ligue 1 itu dalam pertembungan yang sangat dinantikan.

Bercakap kepada wartawan hari ini di Stadium MetLife, New Jersey, Maresca menekankan aspek taktikal perlawanan itu yang menyaksikan pasukannya berhadapan dengan skuad kendalian Luis Enrique.

“Saya memang gemar bermain catur dan saya lihat banyak persamaan antara catur dan bola sepak.

“Pada tahap taktikal, saya tidak percaya kepada langkah-langkah catur semasa perlawanan, tetapi pengurus mesti bertindak balas apabila pengurus lawan bertindak.”

“Sudah tentu ia akan menjadi satu perlawanan catur yang sukar menentang Luis Enrique, tetapi kami akan cuba menikmatinya,” kata Maresca.

Maresca, yang membimbing Chelsea ke perlawanan akhir dengan gabungan pertahanan ampuh dan kreativiti serangan, menghormati rakan sejawatnya itu.

“Yang pasti, PSG dan pengurus mereka, Luis Enrique, adalah satu rujukan bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk ramai orang yang menggemari bola sepak. Saya percaya mereka mempunyai pasukan yang luar biasa dan jurulatih mereka adalah setaraf Pep Guardiola, iaitu antara yang terbaik di dunia ketika ini.

“Mereka adalah sebuah pasukan yang dibarisi pemain-pemain hebat. Ia akan menjadi cabaran yang sukar tetapi menarik, tetapi kami mempunyai gaya kami sendiri,” katanya.

Kemenangan Chelsea di separuh akhir ke atas pasukan Brazil, Fluminense, menyaksikan pemain baharu, Joao Pedro memberikan impak besar dengan menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-0 itu.

Namun begitu, Maresca enggan mendedahkan sama ada penyerang bernilai 60 juta pound (RM344.6 juta) yang baru diperoleh daripada Brighton & Hove Albion minggu lalu itu akan berada dalam kesebelasan utama untuk perlawanan akhir.

“Joao Pedro ialah seorang pemain yang sangat baik. Kami membelinya kerana kami percaya dia boleh membantu kami. Dia mempunyai kualiti yang hebat,” kata Maresca.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top