Rhode Island: Juara lima kali kejuaraan utama, Maria Sharapova, dan pasangan kembar Amerika Syarikat (AS) Bob dan Mike Bryan, yang membentuk beregu paling berjaya dalam sejarah, dinamakan dalam Dewan Kemasyhuran Kelas 2025 Tenis Antarabangsa.
Kelas 2025 akan disambut dalam majlis induksi pada 23 Ogos di Dewan Kemasyhuran di Newport, Rhode Island.
Maria, yang juga salah satu daripada hanya 10 wanita dalam tenis yang mencapai kesemua kejuaraan Grand Slam perseorangan, menjadi wanita Rusia pertama menduduki ranking nombor satu dunia pada tahun 2005.
Beliau juga memenangi pingat perak di Sukan Olimpik London 2012.
Dikenali kerana semangat juangnya yang tidak pernah putus asa walaupun sering terjejas oleh masalah kecederaan bahu, Maria adalah salah seorang pemain paling dikenali dalam sukan ini.
Namun, imejnya terjejas selepas pengumuman pada tahun 2016 bahawa beliau gagal ujian doping.
Maria diuji positif mengambil meldonium di Terbuka Australia 2016 dan kemudian digantung oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa selama dua tahun sebelum rayuannya mengurangkan hukumannya kepada 15 bulan.
Beliau kembali beraksi pada tahun 2017 dan bersara pada Februari 2020, menamatkan karier selepas memenangi hampir AS$40 juta (RM180 juta) untuk hadiah wang kemenangan, menjadi salah seorang atlet wanita dibayar tertinggi dan paling terkenal di dunia.
Sementara itu, pasangan adik beradik Bryan memenangi 16 gelaran Grand Slam dalam kategori beregu lelaki dan terus menjadi duo paling berjaya dalam sejarah Jelajah ATP, memegang rekod untuk minggu terbanyak (438) di puncak ranking dunia beregu.
© New Straits Times Press (M) Bhd