Marina Chin terima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan

Marina Chin terima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan

Marina Chin terima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan


am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Legenda olahraga negara, Datuk Marina Chin menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), pengiktirafan pendidikan tertinggi dalam usahanya membangunkan sukan tanah air.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan anugerah berkenaan pada Istiadat Idul Ilmi Konvokesyen ke-17 UniSZA, hari ini.

Pengiktirafan sebagai tanda penghormatan terhadap jasa Marina dalam bidang kejurulatihan, pendidikan dan pentadbiran sukan negara.

Bekas ratu pecut dan lari berpagar itu pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dengan meraih satu pingat emas dan tiga perak di Kejohanan Olahraga Asia, serta enam pingat emas dan lima perak di Sukan SEA.

Selepas bersara, Marina menyumbang kepada pembangunan sukan menerusi pelbagai peranan penting termasuk Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil, Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia dan kini Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Sukan Negara (ISN).

Marina berkata, anugerah itu bukan sekadar penghargaan peribadi sebaliknya simbol kepada perjuangan semua atlet, jurulatih dan komuniti sukan yang komited membangunkan sukan negara.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas pengiktirafan ini dan bagi saya sukan dan pendidikan tidak boleh dipisahkan kerana ‘anda belajar sambil berjalan’,” katanya.

Menurutnya, kejayaan dalam sukan tidak berakhir selepas seseorang atlet bersara kerana setiap atlet masih boleh terus menyumbang idea dan tenaga melalui bidang kejurulatihan, pengurusan dan pendidikan.

“Penglibatan semula bekas atlet dalam ekosistem sukan amat penting bagi memperkukuh pembangunan atlet muda dan menjadikan sistem latihan sukan negara lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau meluahkan hasrat supaya Malaysia terus melahirkan lebih ramai jaguh dunia dalam pelbagai acara, selain memastikan jurulatih tempatan mencapai tahap kejurulatihan antarabangsa.

Sepanjang kerjayanya, Marina menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), Ahli Mangku Negara (AMN) dan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Beliau turut menerima Anugerah Kepimpinan dalam Sukan Sekolah dan Anugerah Wanita dan Sukan daripada Majlis Olimpik Malaysia serta The BrandLaureate Grand Master Brand Icon Leadership Award 2017.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top