Marina optimis Zaidatul mampu lebih menyerlah

Marina optimis Zaidatul mampu lebih menyerlah


LEGENDA olahraga negara, Datuk Marina Chin optimis ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli masih mampu menampilkan prestasi lebih cemerlang pada masa akan datang.

Beliau berkata, Zaidatul atau lebih mesra disapa ‘Adeq’, dilihat mempunyai kehidupan yang stabil selepas berkahwin dan mampu membuktikan prestasi yang lebih cemerlang dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang.

Marina yang juga anggota Lembaga Institut Sukan Negara (ISN) berkata, sekiranya atlet berusia 31 tahun itu memerlukan sebarang sokongan, ISN bersedia untuk memberikan bantuan yang diperlukan.

“Saya rasa Adeq boleh meningkat prestasinya. Kehidupan sudah stabil, sudah kahwin, ada sokongan moral dan sebagainya. Saya harap jika dia perlukan apa-apa, dia boleh datang jumpa pihak ISN dan ISN akan bantu.

“Saya mahu tengok Adeq bersara dengan mencapai segala matlamat dan impian dia sebagai seorang atlet,” katanya ketika ditemui media dalam program Milo Breakfast Day 2025 di Putrajaya pada Ahad.

Dalam pada itu, Marina mengingatkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) agar lebih teliti dan tidak mengulangi semula isu rekod yang tidak diiktiraf seperti yang menimpa Zaidatul sebelum ini.

Katanya, perkara itu sememangnya mampu meruntuhkan moral seseorang atlet apatah lagi selepas atlet berkenaan telah bekerja keras untuk melakukan pencapaian itu.

“Saya tidak mahu kita hanya fokus kepada seorang atlet sahaja. Kita juga mempunyai atlet junior.

“Saya harap mereka akan menghantar pasukan yang lebih besar supaya atlet baru dapat pengalaman dan saya harap mereka terus memberi dorongan kepada yang lebih muda untuk mengambil bahagian dalam pertandingan,” katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Zaidatul memadamkan rekod 100m wanita kebangsaan milik G Shanti, yang mencatatkan masa 11.50s pada 7 Mei 1993, hanya beberapa bulan sebelum Zaidatul dilahirkan pada 20 Ogos.

Namun, catatan 11.49s oleh atlet berusia 31 tahun itu, sebelum ini dilaporkan tidak diiktiraf oleh Olahraga Dunia (WA) kerana ketiadaan dokumen berkaitan bacaan angin.

Pada Khamis, KOM memaklumkan catatan rekod kebangsaan itu akhirnya diiktiraf oleh WA.



Source link

OR

Scroll to Top