Marissa Yasmin sudah menjangka lakonan dikecam

Marissa Yasmin sudah menjangka lakonan dikecam


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Marissa Yasmin, 48, mengakui dia sudah menjangka bakal menerima kecaman daripada netizen susulan babak kontroversi dalam drama Walid yang memaparkan dirinya menjadi imam solat kepada jemaah lelaki dan perempuan.

Marissa atau nama sebenarnya Marissa Yasmin Mariam Yaakob berkata, dia sedar adegan itu boleh menimbulkan pelbagai reaksi dan kecaman dari netizen.

“Mengenai babak menjadi imam itu, saya memang sudah sedia maklum akan menerima kecaman. Sudah tentu, saya dihentam teruk kerana ada yang melabel saya cuba memesongkan akidah umat Islam.

“Namun, satu perkara yang pasti, tujuan saya melakonkan babak itu bukanlah untuk memesongkan akidah mana-mana pihak. Sebaliknya bertujuan membuka mata masyarakat.

“Hakikatnya, perkara seperti itu pernah berlaku di tempat lain, apabila seorang wanita menjadi imam dan di belakangnya terdapat lelaki serta perempuan yang mengikut solat,” katanya ketika ditemui pada majlis Viu Together Gather dan Iftar.

Mengulas lanjut, Marissa menegaskan, tujuan babak itu dibuat bukan untuk memesongkan akidah umat Islam sebaliknya membawa mesej kesedaran kepada masyarakat.

“Jika perkara seperti imam wanita berlaku, masyarakat perlu lebih peka kerana dalam Islam memang tidak ada konsep wanita menjadi imam kepada lelaki,” katanya.

Ditanya persediaan pula, kata Marissa, dia juga membuat persiapan dari segi mental sebelum menjalani penggambaran babak terbabit kerana bimbang jika adegan berkenaan menimbulkan salah faham dalam kalangan penonton.

“Sebelum melakonkan adegan itu, saya juga mendapatkan pandangan daripada beberapa ustaz bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan difahami dalam konteks yang betul.

“Sebelum buat babak jadi imam, malam sebelumnya, saya minta maaf dengan Allah dan jelaskan dalam doa bahawa niat saya bukan untuk memesongkan akidah, sebaliknya hanya melakonkan watak bagi menyampaikan mesej.

“Saya juga berasa takut sekiranya perkara yang dilihat seperti menyimpang akidah itu memberi kesan kepada diri saya. Jadi sebelum menjalani penggambaran, saya akan banyak memohon ampun dan berdoa agar diberikan kekuatan,” katanya.

Pada masa sama, kata Marissa lagi, dia juga ada mendapatkan pandangan daripada beberapa ustaz membabitkan babak berkenaan.

“Sebenarnya mesej yang cuba disampaikan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Kita mahu penonton faham bahawa perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan masyarakat perlu lebih peka apabila berdepan situasi sebegitu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top