Marquez jalani pembedahan bahu kanan

Marquez jalani pembedahan bahu kanan


Rom:Juara dunia MotoGP, Marc Marquez, selamat menjalani pembedahan pada bahu kanannya susulan kemalangan ketika saingan Grand Prix (GP) Indonesia, menurut pasukannya, Ducati, semalam.

Pelumba Sepanyol itu, yang baru sahaja menamatkan penantian dengan gelaran juara dunia kelas perdana ketujuh di Jepun bulan lalu, mengalami patah tulang dan kecederaan ligamen selepas terjatuh di Lombok minggu berikutnya.

“Marc Marquez menjalani pembedahan dengan jayanya di Hospital Ruber Internacional, Madrid, Sepanyol,” kata Ducati dalam satu kenyataan.

“Pasukan perubatan sama yang memeriksanya tujuh hari lalu mendapati patah tulang korakoid dan kerosakan ligamen masih belum menunjukkan tanda pemulihan yang mencukupi selepas seminggu diimmobilisasi.

“Disebabkan risiko ketidakstabilan kekal, pasukan perubatan memutuskan untuk melakukan pembedahan bagi menstabilkan serta membaiki ligamen akromioklavikular.”

Pasukan Itali itu turut memaklumkan bahawa Marquez akan meneruskan proses pemulihan, dan masa kembalinya ke saingan perlumbaan akan ditentukan berdasarkan perkembangan semasa.

Marquez sebelum ini disahkan tidak dapat beraksi dalam saingan MotoGP Australia dan Malaysia bulan ini, dengan dua baki perlumbaan musim ini akan berlangsung di Portugal dan Valencia pada November.

Pelumba berusia 32 tahun itu mempunyai sejarah panjang kecederaan, termasuk patah tangan kanan pada permulaan musim 2020, yang hampir memaksa beliau bersara awal.

Ducati turut mengesahkan bahawa pelumba ujian, Michele Pirro, akan menggantikan Marquez di GP Australia hujung minggu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top