Martin terlepas perlumbaan pembuka musim MotoGP di Thailand

Martin terlepas perlumbaan pembuka musim MotoGP di Thailand


Paris: Juara dunia MotoGP, Jorge Martin akan terlepas perlumbaan pertama musim ini di Grand Prix (GP) Thailand, hujung minggu ini, selepas mengalami beberapa tulang patah akibat terjatuh, umum pasukannyya, Aprilia.

Pelumba Sepanyol itu yang sebelum ini mengalami beberapa tulang patah akibat terjatuh ketika ujian pramusim di Malaysia, kini mengalami keretakan di tangan kirinya serta tumitnya.

Dia dijadualkan menjalani pembedahan di Barcelona, esok dan terlepas GP Thailand, menurut kenyataan pengeluar Itali itu.

“Jorge Martin mengalami patah kompleks pada tulang radius, beberapa tulang karpal di bahagian kiri serta patah tulang kalkaneus ipsilateral semasa sesi latihan,” menurut kenyataan Aprilia.

“Selepas rundingan pembedahan, keputusan dibuat untuk meneruskan pembedahan, yang akan berlangsung esok di Klinik Dexeus di Barcelona.

“Tempoh pemulihannya akan ditentukan selepas pembedahan,” tambah Aprilia.

Kecederaan terbaharu itu tidak berkaitan dengan kemalangan di Malaysia pada awal Februari apabila dia mengalami patah tangan kanan dan kaki selepas terjatuh dari motosikal Aprilia di selekoh kedua Litar Antarabangsa Sepang, walaupun dia tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan lebih awal pada hari sama.

Pelumba berusia 27 tahun itu yang berjaya menjalani pembedahan pada tangan kanannya, berpindah ke Aprilia selepas memenangi kejuaraan pada musim 2024 bersama Pramac Ducati.

Lorenzo Savadori akan menggantikan juara dunia bertahan itu di GP Thailand.

Menurut laporan media Sepanyol, Martin sepatutnya menerima kebenaran perubatan untuk berlumba di Litar Antarabangsa Chang di Thailand mulai Jumaat ini, tetapi mengalami kemalangan ketika berlatih di litar karting Menargues di Sepanyol.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top