Martinez dalam radar United

Martinez dalam radar United


MANCHESTER United dikatakan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez bagi memperkukuh benteng terakhir pasukan menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penjaga gol antarabangsa Argentina itu turut menarik minat Atletico Madrid selepas dua musim cemerlang yang menyaksikan beliau meraih Trofi Yashin sebagai penjaga gawang terbaik dunia.

Menurut laporan talkSPORT, Villa meletakkan tanda harga sekitar £40 juta (RM240 juta) untuk melepaskan Martinez yang masih terikat dengan kontrak selama empat tahun di Villa Park.

Namun, perpindahan itu hanya dilihat realistik sekiranya United berjaya menjual penjaga gol sedia ada, Andre Onana.

Difahamkan, United sedang aktif menawarkan Onana kepada beberapa kelab menjelang jendela perpindahan musim panas dan melihat Martinez sebagai pengganti ideal.

Antara kelab yang dikaitkan ialah Neom SC dari Liga Pro Saudi, namun beban gaji tinggi yang dituntut Onana dikatakan menjadi penghalang utama kepada mana-mana tawaran rasmi.

Sementara itu, MEN Sport berpandangan faktor usia Martinez yang kini mencecah 32 tahun menimbulkan persoalan sama ada pelaburan besar ke atas pemain berpengalaman itu berbaloi dalam jangka masa panjang.

Portal itu turut menegaskan bahawa The Red Devils wajar memberi keutamaan kepada penambahbaikan di bahagian serangan yang masih tumpul, berbanding menggantikan penjaga gol, lebih-lebih lagi apabila Onana hanya semusim bersama pasukan.

“Bagaimanapun, jika United berjaya menjual Onana pada harga £40 juta (RM240 juta) dan menggunakan jumlah itu sepenuhnya untuk mendapatkan Martinez, langkah itu boleh dianggap wajar.

“Ia bukan sahaja memberi pulangan terhadap pelaburan yang belum menampakkan hasil, malah memperkenalkan satu sosok berkaliber tinggi untuk memperkukuh posisi terakhir di benteng pertahanan,” menurut laporan itu.

United semasa di bawah kendalian Erik ten Hag membayar sekitar £47 juta (RM275 juta) untuk mengikat Onana dari Inter Milan pada 2023 sebagai pengganti David de Gea.

Pada awal kariernya di Old Trafford, Onana beberapa kali mempamerkan kemahiran mengawal bola dengan kaki termasuk mengelecek pemain lawan.

Namun penjaga gol berusia 29 itu tidak konsisten sekali gus membentuk reputasi sebagai ‘penjaga gol musibah’.



Source link

OR

Scroll to Top