Martinez (tengah) mahu rakan sepasukan mengekalkan momentum kemenangan dalam perlawanan akan datang. FOTO: AFP
TONGGAK pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez percaya bahawa pemain pertahanan dan pemain tengah kelab itu mesti bertanggungjawab ke atas jumlah jaringan yang kurang memberangsangkan dicetak oleh Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee musim ini.
Hojlund hanya menjaringkan dua gol dalam 18 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, manakala Zirkzee yang ditandatangani musim panas telah menjaringkan tiga gol daripada 23 perlawanan.
Kedua-dua penyerang itu telah mendapat kritikan kerana prestasi buruk mereka, tetapi Martinez percaya dia dan rakan sepasukannya perlu turut memikul tanggungjawab terutama menerusi hantaran-hantaran yang baik untuk Hojlund dan Zirkzee.
“Sudah tentu, kami mengambil tanggungjawab itu. Saya rasa kami banyak bermain hantaran jauh kepada mereka, dan pastinya ia sukar untuk mereka terutama kerana berdepan dua pertahanan tengah.
“Berdepan pertahanan tengah di EPL sememangnya amat sukar. Tetapi mereka (Hojlund dan Zirkzee) turut perlu melakukan lebih baik.
“Mereka adalah pemain yang sangat bagus, tetapi saya bersetuju bahawa kami perlu terus berusaha dengan hantaran lebih baik memastikan mereka mendapat ruang untuk menjaringkan gol,” katanya.
Dalam pada itu, Martinez mengharapkan pasukannya dapat mengekalkan momentum kemenangan selepas berjaya meraih tiga mata berharga menentang Fulham.
“Kami perlu merendah diri danmengekalkan momentum ini.
“Kami menang dan meraikannya tetapi esok kami fokus pada perlawanan seterusnya. Apabila anda menang, keyakinan akan meningkat. Ia bagus untuk kami mendapat tiga mata.
“Ia sangat penting, kerana kami tidak mempunyai keputusan yang baik dalam EPL. Kami perlu menang setiap perlawanan,” ujarnya.