Pengendali skuad kebangsaan Portugal, Roberto Martinez memberi jaminan bahawa kecederaan yang dialami Cristiano Ronaldo tidak akan menjejaskan peluang kapten pasukan itu untuk beraksi di pentas Piala Dunia 2026.
Ronaldo, 41, sebelum ini tidak disenaraikan dalam skuad terbaharu Portugal bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Mexico dan Amerika Syarikat.
Pemenang lima kali Ballon d’Or itu dilaporkan tidak beraksi untuk kelabnya, Al-Nassr sejak penghujung Februari lalu akibat masalah hamstring, namun Martinez menegaskan situasi tersebut tidak membimbangkan.
“Ia hanya kecederaan kecil. Berdasarkan penilaian, beliau dijangka kembali beraksi dalam tempoh satu atau dua minggu sahaja lagi,” kata Martinez.
Menurut Martinez, tahap kecergasan yang dipamerkan Ronaldo sepanjang musim ini sangat mengagumkan dan beliau tetap menjadi tonggak utama dalam perancangan pasukannya.
“Segala yang dilakukan Cristiano dari segi fizikal musim ini menunjukkan beliau sedang melalui fasa yang cemerlang dan tidak mempunyai masalah fizikal yang serius.
“Untuk Piala Dunia nanti, posisi penyerang tengah akan diisi oleh Cristiano Ronaldo dan Goncalo Ramos. Kami kini hanya sedang mencari penyerang ketiga yang mempunyai profil permainan berbeza,” katanya lagi.
Tambah Martinez, kem latihan kali ini merupakan peluang terakhir untuknya melakukan eksperimen sebelum senarai akhir skuad Piala Dunia diumumkan secara rasmi.
Piala Dunia 2026 yang dihoskan secara bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada dijadualkan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026.
Portugal telah diundi dalam Kumpulan K bersama-sama Colombia dan Uzbekistan, manakala satu lagi slot kumpulan akan ditentukan menerusi pusingan play-off yang melibatkan New Caledonia, Jamaica atau DR Congo.






