sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menamatkan teka-teki mengenai peranan baharu Pengarah Teknikal Program Lumba Basikal Trek Kebangsaan, John Beasley minggu depan.
Setiausaha Agung PKBM, Arif Astaman berkata, kontrak baharu jurulatih dari Australia itu kini berada di peringkat akhir perbincangan dan peranan baharu itu bakal menjadikan Beasley yang sebelum ini fokus pada sukan trek, bertanggungjawab terhadap keseluruhan pembangunan sukan berbasikal di Malaysia.
“Urusan membabitkan kontrak Beasley sebelum ini di bawah tanggungjawab Majlis Sukan Negara (MSN). Kini buat pertama kali, PKBM sendiri akan menggajikan pengarah teknikal jadi ada beberapa perincian yang perlu diselesaikan agar peralihan ini berjalan lancar.
“Kita mahu proses ini diatur dengan teliti untuk memastikan Beasley terus mendapat sokongan sama seperti sebelum ini, jadi ia memakan sedikit masa.
“Beliau tidak membuat apa-apa tuntutan dan faham kedudukannya. Dan kami juga mahu beliau terus menjadi penghubung antara atlet dan jurulatih kepada persatuan dan MSN,” kata Arif ketika dihubungi BH Sukan.
Dalam pada itu, Arif berkata, PKBM percaya selain pengalaman luas, jaringan hubungan antarabangsa yang dimiliki Beasley akan meletakkan beliau sebagai rujukan utama untuk pelbagai disiplin sukan berbasikal di negara ini.
“Beasley akan membantu membangunkan bukan sahaja atlet tetapi juga jurulatih. Ini memberi beliau peluang untuk meninggalkan legasi yang lebih besar,” kata Arif.
© New Straits Times Press (M) Bhd