sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Faktor kecederaan membelenggu Sri Pahang FC menjelang pertemuan dengan Perak FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Sabtu ini.
Pengendalinya, Fandi Ahmad berkata, kecederaan beberapa pemain menjejaskan persiapan ketika skuad Tok Gajah mahu mengutip tiga mata di halaman sendiri.
“Sudah pasti Sri Pahang akan berusaha dengan pemain sedia ada walaupun ada beberapa pemain tidak boleh bermain akibat kecederaan.
“Inilah masalah besar dihadapi ketika ini, tetapi pemain sedia ada perlu memberikan komitmen tinggi dan berada pada prestasi terbaik untuk menyekat lawan daripada membawa pulang mata,” katanya.
Fandi berkata, antara pemain yang tidak akan beraksi ialah Stefano Brundo, Aleksandar Cvetkovic, David Rowley dan Hasnul Zaim.
Menurutnya, kecederaan kaki kanan Brundo paling serius kerana memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu untuk pulih dan kembali ke pangkuan pasukan.
Dia berharap segala perancangan akan menjadi dan Sri Pahang kembali mencatat kemenangan selepas seri 2-2 ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar, Jumaat lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd