Masalah pembelajaran, bukan nakal!

Masalah pembelajaran, bukan nakal!



hafizithnin@mediaprima.com.my

Sekiranya anak anda tidak mampu memberi tumpuan ketika di dalam kelas, bersifat hiperaktif atau enggan ke sekolah, jangan membuat ramalan dia kanak-kanak nakal.

Hakikatnya, tingkah laku berkenaan adalah simptom kanak-kanak mempunyai masalah pembelajaran yang sering berdepan dengan cabaran di dalam dan di luar kelas.

Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr Loh Wai Loong yang berkongsikan perkara itu turut menjelaskan masalah pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak adalah cabaran yang bukan sahaja mempengaruhi bidang akademik, malah sering kali membabitkan kestabilan emosi, kemahiran sosial dan kemampuan mereka untuk menjalani kehidupan seharian.

“Pengesanan awal masalah pembelajaran dan sokongan berdasarkan keperluan individu sangat penting bagi membantu kanak-kanak itu belajar dalam suasana yang memberangsangkan.

“Kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran boleh menunjukkan pelbagai gejala yang mungkin muncul seawal usia bayi atau hanya ketara apabila mereka mula bersekolah,” katanya.

Kongsinya, di Malaysia seramai 7.4 peratus kanak-kanak mengalami kelewatan perkembangan seperti yang dilaporkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022, dengan kadar prevalens dalam kemahiran motor kasar (1.0 peratus), kemahiran motor halus (1.9 peratus), pertuturan dan pendengaran (2.7 peratus) dan perkembangan sosial (4.1 peratus).

Jelasnya, statistik ini menekankan tindakan segera yang diperlukan untuk pengesanan awal dan bantuan yang sesuai bagi menangani cabaran ini dengan berkesan.

Sesetengah tanda masalah pembelajaran yang disebabkan gangguan kekurangan perhatian dan hiperaktif (ADHD), gangguan spektrum autisme (ASD) atau masalah pembelajaran spesifik seperti disleksia (kesukaran membaca), dyscalculia (kesukaran mengira), dan disgraphia (kesukaran menulis) hanya timbul ketika mereka mula bersekolah.

“Segelintir kanak-kanak mungkin menunjukkan tingkah laku yang membimbangkan seperti kurang perhatian, hiperaktif atau enggan ke sekolah. Tingkah laku seperti ini selalunya hanya dianggap nakal, tetapi sebenarnya adalah isyarat awal kanak-kanak itu tidak dapat menampung keperluan akademik dan sosial dalam kelas,” katanya.

Katanya, kelewatan perkembangan juga boleh menyebabkan masalah pembelajaran sekiranya tidak dikesan awal. Kelewatan dalam pertuturan, kemahiran motor atau interaksi sosial dapat mempengaruhi kemampuan kanak-kanak untuk belajar dan menyesuaikan diri dalam kalangan masyarakat.

“Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang lambat bercakap mungkin perlu bekerja keras untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya di taska. Perkembangan yang selaras dengan usia adalah petunjuk utama tumbesaran yang sihat dalam kalangan kanak-kanak.

“Kelewatan dalam bidang seperti kemahiran motor kasar, kemahiran motor halus, pertuturan dan bahasa atau interaksi sosial mungkin boleh mendatangkan masalah pembelajaran yang serius jika tidak dikesan awal,” katanya.

Pakar itu menambah, kanak-kanak dengan kelewatan perkembangan global (GDD) iaitu dua atau lebih bahagian perkembangan terjejas, lebih berisiko untuk mengalami cabaran belajar jika dibiarkan.

“Kepentingan penilaian perkembangan secara berkala, pemantauan berterusan ketika mereka membesar dan intervensi awal jika berkaitan adalah faktor utama kanak-kanak yang mempunyai kelewatan perkembangan untuk mencapai potensi mereka yang sepatutnya.

“Kajian menunjukkan bahawa program intervensi awal (EIPs) memberi kesan yang sangat memberangsangkan kepada kanak-kanak dengan kelewatan perkembangan,” katanya.

Katanya, pengesanan kesukaran belajar dalam kalangan kanak-kanak membabitkan langkah seperti mendapatkan sejarah terperinci perubatan, perkembangan, keluarga dan sosial kanak-kanak.

“Ia diikuti pemeriksaan fizikal dan penggunaan alat pemeriksaan perkembangan khusus seperti DSM-V (ADHD dan ASD), soal selidik Vanderbilt (ADHD), M-CHAT (ASD) atau buku teks dari sekolah untuk masalah pembelajaran khusus seperti disleksia dan discalculia.

“Perkara ini membabitkan proses yang memakan masa. Kanak-kanak sering memerlukan beberapa lawatan ke klinik untuk memastikan diagnosis yang tepat bagi membolehkan semua pihak membincangkan intervensi berdasarkan kesukaran dihadapi. Matlamatnya adalah untuk mengenal pasti kesulitan yang dialami dan menangani mereka secara menyeluruh,” katanya.

Katanya, program intervensi awal bukan hanya menitikberatkan pencapaian akademik semata-mata. Mereka memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh, melengkapkan kanak-kanak dengan alat yang mereka perlukan untuk melangkah keluar ke masyarakat.

“Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyokong anak yang menghadapi masalah pembelajaran. Menyediakan jadual yang konsisten, menggalakkan tingkah laku positif dan menggunakan alat pembelajaran yang membabitkan pelbagai deria adalah beberapa kaedah boleh diambil untuk mencapai hasil amat menggalakkan.

“Contohnya, penggunaan pelbagai deria dengan menyediakan gambar berwarna-warni, bergabung dengan aplikasi text-to-speech dapat meningkatkan kemampuan anak untuk memahami suku kata baharu,” katanya.

Katanya, guru dan ibu bapa perlu bekerjasama untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Komunikasi yang kerap antara kedua-dua pihak akan membantu mereka memahami cabaran yang dihadapi kanak-kanak dan kemajuan mereka, seterusnya membolehkan guru dan ibu bapa menyesuaikan strategi pembelajaran yang diperlukan.

“Strategi pembelajaran yang disesuaikan, dengan sokongan dari ibu bapa dan pendidik, sangat penting untuk anak berkeperluan khas. Konsistensi dan kerjasama adalah pembuka jalan untuk kanak-kanak mencapai potensi mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top