Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail menyindir segelintir pihak yang mencadangkan Liga Super diboikot musim depan.
“Masih ada masa lagi untuk bubar liga. Boikot ramai-ramai. Tunjuk kepada dunia mentaliti bola sepak Malaysia,” titah baginda dalam satu hantaran di laman X.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada beberapa isu yang melanda Liga Malaysia kebelakangan ini, termasuk tuduhan pihak tertentu menyatakan kualiti saingan Liga Super yang dikatakan semakin hambar dan tidak kompetitif.
Selain itu, masalah berpanjangan seperti tunggakan gaji turut membelenggu beberapa pasukan, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan ada pasukan yang menarik diri daripada menyertai saingan liga musim hadapan.
Keadaan ini mendorong segelintir pihak untuk menyuarakan cadangan memboikot Liga Super sebagai tanda protes terhadap pengurusan liga yang gagal menaik taraf bola sepak tempatan.

Gambar yang dimuat naik Tunku Mahkota Ismail.
Baginda turut memuat naik gambar pasukan-pasukan yang telah memenangi saingan Liga Super sejak edisi sulung pada tahun 2004 sehingga musim 2024-25.
Sejak tahun 2014, dominasi sepenuhnya dipegang oleh pasukan JDT yang telah menjuarai Liga Super selama 11 musim berturut-turut, termasuk musim 2024-25.
Ruangan bagi juara musim 2025-26 pula menunjukkan logo JDT yang ditutup separuh memberikan bayangan pasukan Harimau Selatan itu akan terus mengganas dan mengekalkan saingan Liga Super.