PENGANALISIS sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli percaya peluang masih ada untuk memulihkan maruah bola sepak negara biarpun reputasi sudah tercalar susulan hukuman penggantungan tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Ya, mungkin pendedahan Setiausaha Agung FAM dapat menenangkan sedikit keresahan penyokong, tetapi kita perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Pada peringkat kita, kita kata buat perkara yang betul, namun peringkat FIFA, kita belum pasti.
“Apa pun, reputasi bola sepak kita sudah pun tercalar. Cuma kita berharap ada peluang membersihkan imej yang tercalar itu kalau rayuan kita diterima FIFA nanti.
“Sama-samalah kita berdoa dan berhenti menyalahkan orang lain. Berani kerana benar, dan kalau kita yang buat salah, terimalah hukuman dengan penuh keinsafan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Pada Ahad, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengakui wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen tujuh pemain warisan oleh kakitangan pentadbiran badan induk itu.
Beliau bagaimanapun menegaskan kesemua pemain terbabit adalah rakyat Malaysia yang sah dan FAM kini sedang menunggu keputusan penghakiman penuh FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses undang-undang sedia ada.
Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada Jumaat mengumumkan penggantungan setahun terhadap tujuh pemain berkenaan serta denda berjumlah RM1.8 juta terhadap FAM selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Pemain yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Alejandro Hevel yang beraksi ketika Malaysia menentang Vietnam dalam pusingan ketiga Kelayakan Kumpulan F Piala Asia Arab Saudi 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu juga didenda RM10,560.
Mengulas langkah reformasi segera yang perlu dilakukan FAM, Pekan menegaskan isu kesilapan teknikal dalam penyerahan dokumen perlu diperjelaskan secara telus kerana membabitkan integriti sistem tadbir urus sukan negara.
“Kita tidak begitu jelas dengan isu kesilapan teknikal ini. Persoalannya, dokumen berkaitan apa? Apa kesilapannya? Diserahkan kepada siapa? Dokumen untuk kelulusan pihak berkuasa kita atau untuk dihantar kepada FIFA?
“Kalau betul berlaku kesilapan teknikal, siapa yang harus bertanggungjawab? Kita tidak boleh lepas tangan sekadar mengaku buat kesilapan. Belum selesai lagi sebenarnya kerana kita tidak tahu adakah FIFA bersimpati atau mengambil kira alasan itu.
“Kalau kesilapan teknikal inilah punca hukuman FIFA, maka buktikanlah dan desaklah FIFA memaafkan kita serta menarik balik hukuman itu. Inilah perjuangan getir kita dalam tempoh beberapa hari lagi,” jelasnya.
Sementara itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Figueiredo, Irazabal dan Hevel yang menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia (Liga-M) sepanjang tempoh penggantungan dikenakan FIFA.
Perkara itu dimaklumkan selepas MFL menerima notis rasmi daripada FAM berhubung keputusan FIFA
“Tindakan susulan hanya akan dibuat selepas keputusan rayuan FAM diumumkan FIFA nanti,” kata MFL dalam kenyataan.
Ringkasan AI
- Penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli yakin peluang memulihkan maruah bola sepak negara masih ada walaupun reputasi tercalar
- Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengakui kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen tujuh pemain warisan
- Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengumumkan penggantungan setahun terhadap tujuh pemain serta denda RM1.8 juta terhadap FAM
- Pemain yang dikenakan tindakan didenda RM10,560 setelah beraksi ketika Malaysia menentang Vietnam
- Langkah reformasi segera perlu dilakukan FAM dengan memperjelaskan secara telus isu kesilapan teknikal dalam penyerahan dokumen