Tang Jie-Ee Wei akan bertemu gandingan Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch pada pusingan kedua hari ini.
BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, mengakui masih bergelut mencari keserasian walaupun berjaya melepasi halangan pertama pada Terbuka Indonesia yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta.
Dalam aksi pembukaan pada Rabu, pasangan yang berada di ranking keempat dunia itu dipaksa bekerja keras selama 59 minit sebelum menundukkan gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, dengan keputusan 21-11, 16-21, 21-14.
“Kami masih belum menemui rentak sebenar tetapi tetap percaya antara satu sama lain. Kemenangan ini memberikan kelegaan,” ujar Ee Wei selepas perlawanan.
Tang Jie turut memuji lawan yang memberikan cabaran sengit dan menyifatkan tekanan pantas daripada Tanisha sebagai isyarat bahawa mereka perlu lebih bersedia menghadapi saingan seterusnya.
Pasangan negara itu akan bertemu wakil Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch, pada pusingan kedua hari ini dan dijangka memiliki kelebihan berdasarkan prestasi semasa.
Sebagai rekod, Tang Jie-Ee Wei baru kembali digandingkan minggu lalu selepas hampir sebulan berehat dan kini masih dalam proses memperkemas persefahaman di gelanggang.