Kuala Lumpur : Seramai lebih 200 orang asnaf diraikan sempena Majlis Berbuka Puasa Perdana anjuran Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras di sini baru-baru ini.
Menarik majlis turut disertai wakil dan ahli jawatan kuasa rumah ibadat berhampiran bagi merasai suasana jamuan makan dan pengalaman berbuka puasa bersama kariah masjid pada masa sama menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.
Pada masa sama diadakan penyampaian sumbangan khas kepada surau dan sekolah berhampiran masjid berkenaan.
Pengerusi Masjid Al-Mukhlisin, Datuk Ahmad Nazri Ibrahim berkata ia adalah program tradisi yang dianjurkan pada setiap bulan Ramadan sebagai tanda penghargaan dan pengukuhan hubungan strategik bersama rakan-rakan kolaborasi masjid.
“Kira-kira lebih 500 tetamu menghadiri majlis yang diadakan secara tahunan ini. Sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap peranan masjid sebagai pusat ibadah dan kebajikan ummah.
“Selain menjadi platform merapatkan ukhuwah, majlis ini turut menzahirkan keprihatinan sosial apabila pihak masjid bersama sebahagian rakan strategik menyampaikan sumbangan kepada 200 orang asnaf serta golongan sasar,” katanya.
Penganjuran program ini juga membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan membantu golongan memerlukan selain mewujudkan kesedaran mengenai keprihatinan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
“Saya berharap untuk melihat Masjid Al-Mukhlisin menjadi contoh yang baik kepada masjid-masjid lain di kawasan Wilayah Persekutuan ini bagi mengimarahkan lagi peranan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah, namun menjadi medan ilmu dan jalinan ukhuwah yang lebih baik.
“Pentadbiran masjid adalah pihak yang diberi amanah oleh kerajaan dan juga anak kariah untuk mentadbir dan menguruskan serta membuat perancangan bagi memaju dan memakmurkan masjid sehingga menjadikannya sebagai pusat kegemilangan umat,” ujar Ahmad Nazri.
Majlis berkenaan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan
Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di samping sekolah-sekolah sekitar Alam Damai yang sentiasa menyokong aktiviti kemasyarakatan masjid.
Turut diraikan syarikat korporat yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan kebajikan masjid, antaranya Ukur Dimensi Sdn Bhd, Lembaga Juruukur Tanah Malaysia, Juara Travel Sdn Bhd, CA Facilities Integrated Sdn Bhd, Munif Hijjaz Sdn Bhd, MTD Capital Sdn Bhd, Bank Rakyat Malaysia Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Cactus Tech Sdn Bhd serta beberapa lagi rakan strategik yang komited dalam menyokong misi dan visi masjid.
© New Straits Times Press (M) Bhd






