September 8, 2024

Masjid bukan tempat berpolitik, Pemuda Pas ingatkan Zafrul

Masjid bukan tempat berpolitik, Pemuda Pas ingatkan Zafrul


KLANG – Dewan Pemuda Pas Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan UMNO Bahagian Kota Raja yang didakwa menyalahgunakan tempat ibadat umat Islam untuk kepentingan parti dalam majlis korban di sebuah masjid, di sini, Isnin lalu.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, penganjuran majlis korban itu secara jelas bermotif politik kerana terpampang perkataan UMNO tertera dalam sepanduk yang digantung dalam masjid terbabit.

Beliau berkata, tindakan itu jelas melanggar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Abdul Aziz Shah berkenaan larangan parti politik untuk berpolitik di masjid.

“Sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sepatutnya cakna dengan etika masjid zon bebas politik ini.

“Janganlah berselindung di sebalik pelaksanaan ibadah korban untuk menyelinap agenda politik ke dalam institusi masjid.

“Hormati titah Sultan Selangor dan arahan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, dalam hantaran Tengku Zafrul di Facebook miliknya memaklumkan UMNO Bahagian Kota Raja dan Team TZA menganjurkan program ibadah korban dengan menyumbangkan 20 lembu di Masjid An-Naim, Kampung Jalan Kebun di sini, Isnin lalu.

Menurut hantaran sempena Hari Raya Aidiladha itu, Tengku Zafrul mengakui beliau agak lewat hadir pada majlis tersebut dan hanya sempat menyembelih dua lembu.

Mohamed Sukri berkata, larangan berpolitik itu berdasarkan Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) Tahun 2017 di mana pentadbir masjid dan surau hendaklah membantu apa juga ketetapan yang dibuat oleh MAIS.

“Sebarang tindakan bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan MAIS, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya.

Beliau turut mengingatkan UMNO Bahagian Kota Raja agar berpolitik secara matang dan sejahtera.

“Masjid perlu dijadikan medan untuk masyarakat bersatu-padu tanpa mengira latar belakang parti, kaum mahupun taraf kehidupan.

“Jangan biarkan budaya politik sempit yang gemar menggunakan kesempatan ini terus memecah-belahkan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top