Masjid, solat malam ubah diri

Masjid, solat malam ubah diri


DALAM kehidupan moden hari ini, ramai melihat kejayaan melalui lensa angka seperti petunjuk prestasi utama, keuntungan dan pencapaian kerjaya.

Namun bagi Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir yang aktif dalam dunia korporat, kejayaan sebenar tidak hanya terletak pada strategi semata-mata, tetapi pada sesuatu yang lebih halus iaitu keberkatan.

Menceritakan kisahnya, Nazir Masjid Al-Falah USJ 9 itu berkata, perjalanan hidupnya bukan bermula sebagai seorang yang alim, malah beliau sendiri mengakui melalui fasa kejahilan sebelum diberi peluang memimpin organisasi besar.

Ujarnya, pelbagai tekanan, cabaran dan dugaan yang dihadapi ketika menjadi pemimpin dalam dunia korporat.

SYED ZAINAL ABIDIN

“Sepatutnya dalam dunia pekerjaan dan korporat ni, bila kita dah biasa buat sesuatu kerja, ia makin mudah, tapi pada ketika itu tidak bagi saya.

“Apa yang saya buat seperti tiada impak dan makin susah. Saya pun tidak tahu di mana silapnya. Tiba-tiba komuniti masjid minta saya jadi nazir (pengerusi).

“Pada awalnya saya tertanya, kenapa saya? Bukankah ini akan menambahkan lagi beban?” soalnya dalam program Interviu bertajuk Bangun malam dan kualiti manusia pembina dunia anjuran Sinar Harian sempena World #QuranHour baru-baru ini.

Masjid jadi titik perubahan diri

Bagaimanapun ujarnya, setelah menerima amanah tersebut, tanpa disedari ia menjadi titik perubahan dalam hidupnya.

Sambungnya, apabila mula mendekati masjid dan bersama dengan pengurusan masjid, sesuatu yang luar biasa mula dirasainya.

“Hati menjadi lebih tenang. Tekanan kerja yang dahulunya membebankan menjadi semakin terkawal. Keputusan yang dibuat juga lebih jelas dan terarah.

“Saya merasakan ketika masuk masjid, macam ada shield yang melindungi kita daripada tekanan luar,” katanya.

Lama-kelamaan beliau merasakan ada satu tarikan yang kuat untuk sentiasa singgah ke masjid walau di mana sahaja berada dan di situlah kekuatan dalaman mula terbina dalam diri.

Keberkatan

Menceritakan lebih lanjut Syed Zainal Abidin menjelaskan, strategi adalah segala-galanya dalam dunia korporat.

Namun katanya, pengalaman lebih sedekad sebagai nazir masjid mengajarnya satu hakikat yang penting.

“Sehebat mana pun strategi yang disusun dan dirancang, tanpa barakah (keberkatan) ia tidak akan kekal.

PELBAGAI program disusun ahli jawatankuasa Masjid Al-Falah USJ 9 dalam usaha memakmurkan lagi rumah ALLAH itu.

PELBAGAI program disusun ahli jawatankuasa Masjid Al-Falah USJ 9 dalam usaha memakmurkan lagi rumah ALLAH itu.

Barakah inilah yang menjadikan sesuatu usaha itu berterusan dan memberi kesan bukan sahaja kepada diri, malah kepada orang lain juga,” hurainya.

Katanya, masjid juga telah mengubah cara berfikir iaitu daripada pertimbangan lebih tertumpu kepada keuntungan peribadi kepada fokus kepada manfaat untuk masyarakat.

“Di masjid, kita berfikir untuk ummah, bukan lagi berkaitan ‘apa yang aku dapat?’, tetapi ‘apa kebaikan untuk orang lain?’

“Lama-kelamaan, perubahan cara berfikir ini turut memberi kesan kepada akhlak. Jika dahulu saya seorang yang panas baran, namun kini semakin reda dan digantikan dengan ketenangan,” ujarnya.

Walaupun aktif dalam dunia korporat dan perniagaan, beliau tidak meninggalkan peranan di masjid dan baginya keseimbangan itu bukan sesuatu yang mustahil.

“Jika hendak dihitung dengan masa, memang kita tidak pernah rasa cukup. Tapi kita yang kena beri masa,” katanya.

SYED ZAINAL ABIDIN (tengah) bersama Pengasas Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika menjadi ahli panel program Interviu baru-baru ini.

SYED ZAINAL ABIDIN (tengah) bersama Pengasas Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika menjadi ahli panel program Interviu baru-baru ini.

Beliau percaya, seseorang itu boleh berjaya dalam kerjaya tanpa mengabaikan agama, malah kedua-duanya saling melengkapi jika disandarkan kepada nilai keberkatan.

Jaga solat malam

Menyambung kisahnya, antara amalan yang menjadi kekuatan beliau dalam dunia korporat, kehidupan seharian dan pengurusan masjid ialah solat malam seperti solat sunat tahajjud.

“Solat malam ni tidak perlu lama, cukup sekadar dua atau empat rakaat setiap hari dan ia dilakukan secara konsisten.

“Itulah ‘me time’ kita dengan ALLAH. Kita mengadu dengan-NYA dan meminta dengan-NYA,” jelasnya.

Ujarnya, antara kesan yang dirasai apabila mengamalkan solat malam termasuklah emosi yang lebih stabil, fikiran yang jernih dan keputusan yang dibuat juga lebih tepat.



Source link

OR

Scroll to Top