Su Yin (kiri) dan Pang Ron dipaksa bekerja keras oleh pasangan India sebelum mara ke suku akhir Masters Indonesia. – Foto Agensi
EMPAT beregu negara melangkah bergaya ke saingan suku akhir Masters Indonesia di Jakarta sebentar tadi.
Malah lebih menarik dua pasangan negara ‘mendiamkan’ ribuan penyokong tuan rumah dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Istora Senayan itu.
Pilihan utama kejohanan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menepati ramalan apabila mudah mematahkan tentangan Hidayatullah Jafar-Felisha Pasaribu 24-22 21-14 dalam tempoh 46 minit permainan.
Pasangan negara akan berdepan pilihan keenam dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam perjalanan ke saingan separuh akhir kejohanan berstatus Super 500 itu.

Soon Huat (kiri) dan Shevon mengalahkan pasangan tuan rumah untuk mara ke suku akhir Masters Indonesia di Jakarta. – Foto Agensi
Mengikut jejak sama ialah pilihan kedua kejohanan, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mengalahkan Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri Pranata 21-16, 21-9 dalam masa 29 minit.
Gandingan profesional negara itu bakal berdepan cabaran Hiroki Midarikawa-Natsu Saiti dari Jepun dalam aksi suku akhir pada Jumaat.
Turut melakar keputusan positif ialah beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan Ming Che Lu-Huang En Tzu.
Gandingan nombor lima dunia itu mudah membenam cabaran pasangan Taiwan tersebut 21-16, 21-16 dalam tempoh 33 minit.
Menanti Aaron-Wooi Yik dalam perlawanan suku akhir ialah juara Terbuka Malaysia dari Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae.
Satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut mara setelah mereka menumpaskan Druv Kapila-Tanisha Crasto dalam aksi pusingan kedua.
Kemenangan mereka bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila dipaksa bekerja keras oleh pasangan dari India itu sebelum menang 18-21 21-15 21-19 dalam masa 57 minit permainan.
Cabaran besar menanti mereka dalam aksi suku akhir apabila dijadual berdepan pasangan tuan rumah, Rinov Rivaldy-Lisa Ayu Kusumawati.