Wee Kiong (kiri) dan Azriyn menumpaskan pasangan Taiwan untuk mara ke separuh akhir Jepun Masters di Kumamoto pada Sabtu. Foto Agensi
BEREGU muda negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong meneruskan momentum positif apabila meraih tiket ke separuh akhir Masters Jepun di Kumamoto sebentar tadi.
Kejayaan tersebut diraih selepas pasangan nombor 40 dunia itu menumpaskan gandingan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin dalam aksi suku akhir secara straight set di Kumamoto Prefectural Gymnasium.
Mereka sebelum ini mengejut juara Terbuka China yang juga rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada pusingan kedua memulakan set pertama dengan langkah kanan menerusi kemenangan 21-19.
Azriyn-Wee Kiong kemudian tidak menoleh ke belakang lagi apabila mengesahkan kemenangan 21-19 dalam tempoh 33 minit permainan pada kejohanan berstatus Super 500 itu.
Menanti mereka dalam saingan separuh akhir pada Sabtu ialah pilihan keenam kejohanan, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Soon Huat (kiri) dan Shevon akan berdepan gandingan Thailand dalam saingan separuh akhir Jepun Masters di Kumamoto pada Sabtu. Foto Agensi.
Pasangan dari Jepun itu mara ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Jin Yong dan Seo Seung-jae 21-10, 21-14 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Dalam pada itu, pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut melakar keputusan positif apabila mara ke dalam kelompok empat terbaik.
Gandingan profesional itu menumpaskan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-16,21-13 dalam masa 35 minit permainan.
Pasangan yang menghuni ranking nombor 10 dunia itu bakal berdepan cabaran Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam aksi separuh akhir.
Gandingan Thailand itu mengalahkan pasangan Malaysia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-17, 21-16 dalam satu lagi saingan suku akhir.