Masters Malaysia: Tze Yong tak sabar beraksi di laman sendiri

Masters Malaysia: Tze Yong tak sabar beraksi di laman sendiri


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, tidak sabar untuk kembali beraksi di tanah air selepas lebih setahun tidak bertanding di hadapan penyokong sendiri menjelang Kejohanan Masters Malaysia yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, bermula Selasa ini.

Meskipun turun sebagai pemain bukan pilihan, atlet berusia 25 tahun itu tetap teruja untuk memberikan aksi terbaik di gelanggang sendiri.

“Saya berasa teruja sebab lebih setahun tidak bermain di Malaysia. Saya rasa prestasi semakin baik daripada satu kejohanan ke satu kejohanan. Memang ada perubahan.

“Saya turun sebagai ‘underdog’ dan ranking pun agak jauh, tetapi bermain di laman sendiri dengan sokongan ramai penyokong, saya sangat tak sabar,” katanya.

Anak kelahiran Johor itu dilihat masih mencari rentak permainan selepas tersingkir di pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) di China, Terbuka Taiwan serta Terbuka Thailand minggu lalu.

Dalam saingan Masters Malaysia, Tze Yong bakal membuka tirai kejohanan dengan menentang pemain Hong Kong, Ng Ka Long.

Namun, beliau tidak mengambil mudah cabaran lawan walaupun mencatat kemenangan dalam pertemuan terakhir sebelum ini.

“Saya belum menang lagi musim ini, jadi saya sendiri tidak pasti di mana tahap prestasi saya setakat ini,” katanya.

Untuk rekod, Tze Yong sebelum ini terpaksa berehat panjang susulan beberapa kecederaan termasuk koyakan otot di bahagian belakang serta kecederaan tulang belakang yang dialaminya sejak tahun lalu. Beliau kembali ke saingan kompetitif bermula Kejohanan BAC pada April lalu.



Source link

OR

Scroll to Top