Masuk sebagai pelancong tapi jadi pelakon opera

Masuk sebagai pelancong tapi jadi pelakon opera


BUTTERWORTH : Masuk sebagai pelancong namun menyalahgunakan pas lawatan sosial yang dimiliki untuk menjalankan aktiviti sebagai artis budaya dengan membuat persembahan opera.

Itu yang dilakukan oleh enam warga asing iaitu dua lelaki dan empat wanita dari Taiwan dan Singapura yang berusia dalam lingkungan antara 40 hingga 60 tahun.

Perbuatan mereka itu bagaimanapun terbongkar susulan satu serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di pekarangan sebuah rumah ibadat di sini, semalam.

Pengarah JIM negeri, Nur Zulfa Ibrahim berkata, terdahulu, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai kehadiran sekumpulan warga asing tanpa permit yang membuat persembahan di situ.

Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan, kesemua enam warga asing terbabit sedang membuat persembahan dan lengkap memakai kostum mengikut watak masing-masing.

“Semakan ke atas pasport mendapati, mereka hanya diberikan pas lawatan sosial dan tiada sebarang kebenaran yang tercatat di dalamnya,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Nur Zulfa, kesemua warga asing yang ditahan itu disyaki telah melanggar syarat-syarat pas selaras dengan peruntukan di bawah peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Siasatan lanjut akan dilakukan dan jika sabit kesalahan, mereka bakal dikenakan tindakan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya,” jelas beliau.

Tambah Nur Zulfa, berdasarkan peraturan semasa yang sedang dikuatkuasakan, mana-mana artis perlu membuat permohonan kepada Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) yang diwujudkan kerajaan sebagai sebuah agensi setempat untuk menyelaras permohonan penggambaran filem dan persembahan artis luar negara.

“Dalam hal ini, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan (yang terkandung)di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen tanpa kompromi,” ujarnya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top