MASUM 2025 jadi pentas mahasiswa harumkan nama negara

MASUM 2025 jadi pentas mahasiswa harumkan nama negara


SERAMAI 2,342 atlet dan pegawai dari 20 universiti awam seluruh negara kini berkampung di Terengganu bagi menyertai Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2025 yang berlangsung dari 15 hingga 20 September ini.

Edisi dwitahunan itu mempertandingkan 10 acara sukan utama iaitu bola tampar, bola tampar pantai, boling padang, sofbol, petanque, catur, pencak silat, taekwondo, memanah dan karate, dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi gelanggang utama kejohanan.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited meningkatkan mutu sukan negara dengan memberi sokongan penuh kepada pembangunan sukan di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, Karnival Sukan MASUM bukan sekadar medan persaingan, malah platform mencungkil bakat baharu mahasiswa untuk terus mengharumkan nama negara.

“Karnival Sukan MASUM merupakan platform terbaik memperlihatkan kebolehan dan potensi mahasiswa bersaing di peringkat lebih tinggi, seterusnya dapat mewakili MASUM dan negara ke pentas antarabangsa.

“Di sinilah peranan universiti, MASUM dan KPT dalam memastikan kecemerlangan atlet tidak terhenti apabila memasuki IPT,” katanya ketika merasmikan kejohanan di UMT, Kuala Nerus.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor UMT, Profesor Dr Mohd Zamri Ibrahim, dan Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Fadzli Adam.

Dalam pada itu, Azlinda turut merakamkan penghargaan atas kejayaan atlet MASUM yang cemerlang pada edisi ke-10 Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) dari 1 hingga 7 September lalu.

“Tahniah kepada kontinjen MASUM yang berjaya mengekalkan kejuaraan dengan kutipan 42 pingat emas, 27 perak dan 34 gangsa.

“Lebih membanggakan, atlet MASUM iaitu Jonah Chang dari Universiti Malaya turut memecah rekod kebangsaan dalam acara lontar peluru,” ujarnya. – Bernama

Ringkasan AI

  • SERAMAI 2,342 atlet dan pegawai dari 20 universiti awam seluruh negara berkampung di Terengganu untuk Karnival Sukan MASUM 2025
  • Edisi ini mempertandingkan 10 acara sukan dengan UMT dan UniSZA sebagai gelanggang utama
  • KPT komited tingkatkan mutu sukan negara melalui pembangunan sukan di IPT
  • Karnival Sukan MASUM dianggap sebagai platform mencungkil bakat mahasiswa di peringkat antarabangsa
  • Atlet MASUM berjaya mengekalkan kejuaraan di SIPMA dengan 42 pingat emas dan memecahkan rekod kebangsaan dalam lontar peluru



Source link

OR

Scroll to Top