MANCHESTER United dilaporkan semakin hampir memuktamadkan perpindahan penyerang Wolves, Matheus Cunha ke Old Trafford.
Bagaimanapun, kelab itu masih perlu mengaktifkan klausa pelepasan bernilai £62.5 juta bagi mendapatkan pemain Brazil berusia 25 tahun itu.
Menurut laporan Mail Sport, Newcastle United sebelum ini menjadi pencabar utama dalam mendapatkan tandatangan Cunha dan berhasrat menggunakannya di posisi kiri serangan.
Namun, Cunha dikatakan lebih tertarik dengan peluang memainkan peranan utama dalam pembaharuan skuad di bawah pengendali baharu, Ruben Amorim.
Amorim secara terbuka memuji keupayaan Cunha yang serba boleh serta ketajaman menjaringkan gol.
Malah, beliau dilihat berbual dengan Cunha selepas pertemuan antara United dan Wolves di Molineux serta sekali lagi di terowong Old Trafford baru-baru ini.
Selain Cunha, United turut menyasarkan penyerang Ipswich Town, Liam Delap.
Namun, mereka berdepan saingan sengit daripada Chelsea yang juga berminat untuk mengaktifkan klausa pelepasan £30 juta (RM178 juta) pemain muda itu.
Disebabkan kekangan di bawah peraturan Keuntungan dan Kemampanan (PSR), perbelanjaan United bergantung kepada penjualan pemain serta peluang kelayakan ke pertandingan Eropah.
Amorim juga telah berbincang mengenai beberapa sasaran lain termasuk Victor Osimhen (Napoli), Xavi Simons dan Benjamin Sesko (RB Leipzig), Eberechi Eze (Crystal Palace) serta Antoine Semenyo (Bournemouth).
Beberapa pemain utama seperti Marcus Rashford, Jadon Sancho, Antony, Casemiro dan Alejandro Garnacho turut dilaporkan berisiko dijual pada musim panas ini, namun cabaran utama adalah untuk mendapatkan nilai maksimum daripada penjualan tersebut.
Dalam masa sama, United turut mengadakan perbincangan mengenai penyerang muda Le Havre, Enzo Kana-Biyik, 18, yang akan tamat kontrak pada penghujung musim ini.
OR