Mati lepas suntik air bangkai rama-rama

Mati lepas suntik air bangkai rama-rama


Brasilia: Seorang remaja maut selepas mengalami kejutan septik (komplikasi serius akibat jangkitan kuman), selepas menyuntik dirinya dengan air bangkai rama-rama dipercayai bagi menyahut cabaran dalam talian.

Mirror UK melaporkan, Davi Nunes Moreira, 14 dikejarkan ke hospital di Planalto, Bahia di timur laut Brazil selepas dia mula muntah dan mula berjalan terhincut-hincut.

Davi dikatakan memberitahu doktor dia berjumpa ahli kimia, dan mencampurkan bangkai rama-rama ke dalam air, kemudian menyuntik cecair itu ke kaki kanannya.

Keadaan remaja itu semakin teruk menyebabkan dia dipindahkan ke hospital lain, pada Rabu, namun disahkan meninggal dunia.

Bagaimanapun, remaja itu tidak sempat memberitahu jenis rama-rama yang digunakan.

Ketika ini, pihak polis sedang menunggu keputusan bedah siasat penuh selepas membuka siasatan yang dikatakan memberi tumpuan kepada kemungkinan dia melakukan perbuatan aneh itu sebagai sebahagian daripada kegilaan media sosial.

Beberapa media Brazil secara terbuka membuat spekulasi remaja itu mengambil bahagian dalam eksperimen yang dilihatnya dalam talian, walaupun Davi dikatakan menafikan dakwaan itu sebelum meninggal dunia.

Polis Awam di Vitoria da Conquista mengetuai siasatan kematian Davi.

Jurucakap pasukan itu berkata, hasil bedah siasat akan membantu menjelaskan punca kematian.

“Siasatan akan menjelaskan apa yang berlaku,” katanya.

Bapa Davi menemui picagari yang digunakan anaknya untuk menyuntik dirinya di bawah bantal ketika mengemas rumah, menurut laporan tempatan.

Pengarah Muzium Zoologi Universiti Sao Paulo dan pakar rama-rama, Profesor Marcelo Duarte, berkata, rama-rama mempunyai biologi yang kompleks, dan cecair yang terdapat dalam badan mereka belum dikaji secara mendalam dari segi ketoksikannya kepada manusia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top