Mati misteri dalam kereta

Mati misteri dalam kereta


Melaka: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta di kawasan parkir pangsapuri di Jalan Bukit Beruang di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.05 malam semalam sebelum sepasukan polis dan forensik digerakkan ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mayat lelaki berusia 39 tahun itu ditemukan di tempat duduk pemandu. Pemeriksaan ke atas tubuh badan si mati tidak menemukan sebarang kesan kecederaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati tiada kerosakan pada kenderaan berkenaan dan hasil siasatan awal di lokasi kejadian juga mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan,” katanya.

Christopher berkata siasatan turut mendapati lelaki berkenaan seorang juruteknik syarikat utiliti yang berada di kawasan pangsapuri itu bagi menjalankan pemeriksaan rutin berkaitan kerja selain sering datang ke lokasi itu untuk pemeriksaan berkala sebelum ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk tindakan lanjut dan bedah siasat telah dijalankan pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan penyakit aterosklerosis koronari (jantung tersumbat) dan kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top